JOHOR BAHRU – Kejatuhan ringgit ketika ini membuka peluang pengunjung Singapura menyerbu Angsana Mall di sini untuk berbelanja sakan hingga ada yang menyorong bagasi berdoa untuk memudahkan mereka membawa kelengkapan Aidilfitri yang dibeli.
Tinjauan mendapati, ramai warga republik itu memilih Angsana Mall sebagai syurga membeli belah kerana boleh mendapatkan semua kelengkapan di situ seperti pakaian dan makanan.
Lebih meriah apabila ada antara pengunjung Singapura membeli barangan di sebuah kedai hingga mencecah RM4,000 dalam satu resit.
Peniaga yang dikenali sebagai Kechik berkata, jualan Aidilfitri pada tahun ini sedikit luar biasa dalam kalangan pengunjung Singapura yang dipengaruhi oleh kejatuhan mata wang negara.
“Dari awal bazar dibuka, mereka mewah berbelanja. Ada di antara mereka yang bersahaja berbelanja antara RM1,000 hingga RM4,000 dalam satu resit sahaja.
“Bila hujung minggu, mereka berduyun-duyun mereka ini datang menyeberangi Tambak Johor untuk berbelanja sakan di Angsana Mall. Kita boleh bezakan pelanggan itu orang tempatan atau dari negara jiran,” katanya.
Sementara itu, warga Singapura, Rahmat Lumri, 64, berkata, dia menggunakan khidmat kereta sewa dari Johor Bahru untuk mengambil mereka sekeluarga di republik itu ke Angsana Mall.
Katanya, mereka dapat berjimat banyak dengan berbelanja di bandar raya ini berbanding di Singapura, bahkan pilihan pilihan di sini lebih meriah dan pelbagai.
“Kalau bawa SGD1,000, tukar di sini sudah hampir RM3,500 dan dengan jumlah itu sudah mewah berbelanja, boleh beli macam-macam.
“Jika banding dengan Pulau Batam, Indonesia saya lebih memilih berbelanja di sini kerana lebih puas hati,” ujarnya.
Bagi Ramona Umar, 58, berbelanja di Johor Bahru lebih seronok kerana dia mempunyai banyak pilihan untuk membeli biskut raya tradisional berbanding di Singapura.
“Di Singapura, susah nak jumpa kuih tradisional seperti kuih koya, tapi ia ada jual di sini. Bukan sahaja sini banyak pilihan dari segi pakaian baju raya, kuih-muih pun banyak juga,” ujarnya.
Faizal Rahman, 45, dari Tanjung Pinang, Indonesia berkata, dia merasa puas berbelanja di Johor.
“Saya dan isteri menginap di hotel di sini sebelum keluar membeli persiapan raya.
“Dekat sini pilihan meriah, saya jadi rambang mata untuk memilih. Sudah beberapa tahun saya akan ke sini untuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.
















