fbpx

Peniaga air kelapa didakwa rogol kekasih bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Aidie Edham (kiri) untuk didakwa atas pertuduhan merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH/ KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang peniaga air kelapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya yang merupakan gadis bawah umur, pada minggu lalu.

Tertuduh, Aidie Edham Jafridin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lapan bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Bachok dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada 27 Mac 2024.

Aidie Edham didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri mencadangkan jaminan yang tinggi dengan anggaran sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 kepada tertuduh termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar dalam rayuannya memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 kerana tertuduh hanya membantu bapanya menjual air kelapa dengan pendapatan RM50 sehari.

“Tertuduh merupakan anak kedua daripada lapan beradik dan hanya bersekolah sehingga tingkatan empat sahaja selain mengalami masalah pembelajaran,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi dan melapor diri di Balai Polis Gunong, Bachok sebulan sekali.

Tertuduh membayar jaminan tersebut dan mahkamah menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI