fbpx

PABM cari jalan bantu Aniq Kasdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIQ sah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih tempat kelapan pada Piala Dunia IWF di Phuket kelmarin.

BIARPUN badang negara, Mohamad Aniq Kasdan sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dilihat bimbang dengan jumlah angkatan dilakukan atlet berusia 21 tahun tersebut.

Aniq yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) cemerlang di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar tahun lalu dengan angkatan keseluruhan 296kg menyaksikan dia diletakkan sasaran mencapai 300kg pada Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat yang turut berada di Phuket menyaksikan kejohanan terakhir itu yang berakhir kelmarin mengakui Aniq di bawah prestasi sebenar apabila hanya mampu melakukan angkatan keseluruhan 290kg.

Ayub mengakui pihaknya akan melihat secara keseluruhan untuk menilai punca kemerosotan atletnya itu dan cuba memperbaikinya untuk memastikan Aniq benar-benar bersedia ke Paris memburu pingat.

“Kita bersyukur Aniq sah layak ke Paris, cuma persembahan kurang memberangsangkan. Sebelum ini kita hantar menjalani latihan di Aceh selama sebulan untuk memperkemaskan dari segi angkatan snatch, tetapi tak tahu apa faktor ia jadi seperti itu.

“Kita sasarkan Aniq melakukan 300kg di Phuket kerana dia melakukan 296kg tahun lalu. Fokus adalah Sukan Olimpik, jadi kena ketepikan semua yang mengganggu misi sekurang-kurangnya pingat untuk angkat berat di Olimpik Paris tanpa kira warna,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub turut mengarahkan barisan kejurulatihan mencari jalan untuk membantu Aniq dalam tempoh kurang daripada 114 hari terutama mencapai jumlah angkatan lebih 300kg.

“Saya dah minta jurulatih untuk melihat kenapa kemerosotan itu berlaku. Atlet Amerika Syarikat (AS), Thailand yang dulu di bawah Aniq, sekarang dah melepasinya dengan jumlah angkatan cukup mengagumkan. Atlet AS umur 20 tahun telah mencatatkan rekod dunia bagi clean & jerk.

“Sesuatu harus dilakukan dan kita sebenarnya ada masa kerana tengok prestasinya bukanlah jatuh terlalu jauh. Jika mampu buat 296kg, Aniq hanya perlu tambah sembilan atau 10kg untuk berada dalam keadaan meraih pingat di Paris.

“Saya pernah sebut untuk dapat pingat di Paris antara 305kg hingga 310kg dan kita lihat ramai atlet telah melakukan angkatan lebih daripada 300kg. Untuk selamat, Aniq kena capai jumlah angkatan 305kg hingga 310kg,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI