fbpx
Rosnah (kiri) melayan seorang pelanggan yang membeli kuih raya di kedainya di bandar lama Lipis semalam.

‘Kami dah jangka jualan kuih merosot’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Rata-rata peniaga kuih dan biskut raya dilihat terkesan apabila jualan mereka agak suram serta kurang mendapat sambutan berbanding tahun lalu.

Tinjauan mendapati, tempahan biskut raya yang diterima tahun ini berkurang kira-kira 50 peratus ekoran peningkatan kos bahan mentah.

Seorang peniaga di sini, Rosnah Isa, 48, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan antara RM2 hingga RM3 bagi setiap produk jualan bagi mengelakkan kerugian serta menampung kos bahan mentah itu.

“Saya memang sudah jangka jualan biskut raya kali ini akan perlahan kerana harga barang keperluan makin meningkat selain faktor penggal persekolahan baru dibuka yang memerlukan perbelanjaan banyak ibu bapa membeli kelengkapan sekolah.

“Namun, saya mengharapkan agar jualan kembali ‘rancak’ hujung minggu ini tambahan pula penjawat awam akan mendapat bantuan khas Aidilfitri selain pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang pengusaha biskut raya dari Felda Sungai Retang di Jerantut, dekat sini, Nor’ain Md. Zain, 40, berkata, pendapatannya tahun ini merudum lebih 50 peratus sekali gus disifatkan pa­ling buruk sejak mengusahakan perniagaan itu kira-kira 10 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini hasil jualan biskut raya mencecah le­bih 1,000 balang namun disebabkan berlaku peningkatan kos bahan mentah maka dia terpaksa mengecilkan operasi.

“Saya hanya menjual 12 jenis kuih raya termasuk kerepek pisang, kuih karas, almond london, semperit susu, tart nanas, biskut mazola, chocolate chip, chocolate rice, strawberry butter cookies, popia sira dan peneram.

“Idea asal peniagaan saya ini adalah fokus kepada jualan kuih kampung atau kuih orang lama seperti karas, peneram dan cakar ayam keledek tetapi di­sebabkan harga bahan mentah naik mendadak, jadi tahun ini cakar ayam keledek tidak dapat dibuat,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Shamsiah Che Yusoff, 64, berkata, orang ramai agak berhati-hati membuat pembe­lian pada tahun ini kerana berlaku kenaikan harga barang selain terpaksa berjimat cermat.

“Jika dahulu orang ramai tidak kisah berbelanja berlebihan untuk membuat persiapan raya namun berbeza pada tahun ini kerana mereka mahu berbelanja secara berhemah.

“Orang ramai juga lebih gemar membuat perbandingan harga selain memilih untuk membuat biskut raya sendiri berbanding membeli di kedai,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN