fbpx

[VIDEO] Bank Rakyat lancar iklan raya Tulus Ikhlas lakonan Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron sebagai pelakon dan pengarah filem pendek raya Bank Rakyat bertajuk Tulus Ikhlas.

KUALA LUMPUR – Bank Kerjasama Rakyat Berhad atau Bank Rakyat hari ini melancarkan filem pendek raya bertajuk ‘Tulus Ikhlas’ menampilkan pelakon, Datuk Aaron Aziz sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Filem berdurasi tujuh minit serta ditayangkan pada platform media sosial Bank Rakyat itu turut menggandingkan pelakon lain seperti Sharifah Husna Syed Mustaffa dan dua pelakon kanak-kanak, Aaron Yusof Raj dan Adrean Jameela Raj.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, iklan raya pada tahun ini melibatkan barisan pengarah yang belum pernah lagi menghasilkan iklan komersial atau iklan raya seperti Allahyarham Mamat Khalid dan Sabri Yunus.

“Pada tahun ini pula, Datuk Aaron Aziz nama yang cukup sinonim dengan naskhah filem atau drama tanah air, buat pertama kali tampil dengan arahan iklan raya bagi filem pendek Bank Rakyat iaitu ‘Tulus Ikhlas’.

“Ia mengisahkan kesedaran sosial oleh kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Rayyan tentang kemelut kehidupan anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung serta kurang bernasib baik berbanding dirinya dan adik perempuannya,” katanya pada pelancaran filem pendek ‘Tulus Ikhlas’ di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Nizam berkata, tempoh tujuh minit itu cukup untuk menyampaikan mesej tersirat sekali gus beliau berharap penonton mengambil teladan terhadap mesej ‘memberi dengan ikhlas’ menerusi filem tersebut.

Sementara itu, Aaron berkata, iklan raya tersebut mengambil masa dua hari penggambaran dengan cetusan idea daripada Bank Rakyat dan Razor’s Edge Pictures Sdn. Bhd.

“Mereka ‘approach’ saya untuk berlakon dan saya tengok jalan cerita macam mana. Kalau saya ‘feel’ jalan cerita itu, saya boleh buat. Tak jauh apa yang pernah saya lakukan (lakonan sebelum ini) iaitu kekeluargaan, persaudaraan, menangis dan benda biasa untuk saya.

“Namun, cabarannya ialah masa. Bagaimana yang memenuhi tujuh minit tersebut dan banyak ‘scene’ (latar) dan banyak lokasi. Dengan bantuan kakitangan Bank Rakyat, boleh urus dalam masa dua hari,” katanya.

Ujarnya, anak dan keluarga menjadi kekuatan kepadanya untuk menjayakan filem raya Bank Rakyat lebih-lebih lagi ia menyentuh hubungan kekeluargaan.

“Tahun ini juga saya sambut Aidilfitri tanpa ibu. Sebab tu saya ‘feel’ sangat cerita ni,” katanya.

Sementara itu, Aaron turut berharap orang ramai tidak membandingkan iklan raya tersebut dengan filem raya terbitan pihak lain kerana ia mesej berbeza mahu disampaikan oleh Bank Rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI