fbpx

Tiada bantuan Aidilfitri untuk penjawat awam Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF ketika berucap pada Majlis berbuka Puasa bersama Kepimpinan dan Penyampaian Sumbangan UMNO Bahagian Masjid Tanah, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Melaka tidak berhasrat untuk memberi tambahan bantuan khas kepada penjawat awam negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, insentif daripada kerajaan negeri telahpun diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 merangkumi pemberian setengah bulan gaji atau minimum RM2,000.

“Kita sebenarnya dah umum lebih awal hari itu mengikut Bajet 2024, jadi (bantuan khas raya) tambahan ini, kita tak boleh (beri).

“Kita lihat dulu, tapi saya rasa yang kita umum masa Bajet 2024 hari tu untuk penjawat awam dengan nilai RM2,000 hari tu dah cukup untuk menampung keperluan raya ni,” katanya ketika ditemui pada Majlis berbuka Puasa bersama Kepimpinan dan Penyampaian Sumbangan UMNO Bahagian Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai sebarang pemberian bantuan khas susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang bersetuju
menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK).

Beliau memaklumkan sebanyak RM500 akan dibayar kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk yang berstatus kontrak, pada Jumaat ini.

Pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen turut diberikan bantuan khas sebanyak RM250.

Pada pembentengan Bajet 2024 tahun lalu, Ab. Rauf mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kira-kira 4,400 penjawat awam di negeri ini.

Katanya, pembayaran itu turut melibatkan kakitangan berstatus kontrak dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta.

Tambah Ab. Rauf, sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam beberapa inisiatif turut dilaksanakan seperti meneruskan Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) kepada penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas dengan implikasi kewangan hampir RM1 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI