GEORGE TOWN – Trend membeli pakaian raya terpakai atau preloved dan bundle semakin menjadi pilihan ramai terutama isi rumah berpendapatan sederhana bagi meraikan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.
Mereka mendakwa, tiada pilihan melainkan membeli baju raya terpakai pada harga serendah RM5 sehelai bagi menjimatkan belanja.
Penganjur Bundle Raya, Noramalina Mohd. Wazir berkata, kos sara hidup yang tinggi pada masa ini menyebabkan ramai isi rumah terutama yang mempunyai bilangan keluarga ramai mencari pakaian terpakai untuk digayakan pada pagi raya nanti.
“Pengunjung tidak kira umur dan jantina termasuk warga emas tidak segan silu mencari dan membeli baju raya yang dijual serendah RM5 hingga RM25 sepasang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bundle Raya bertempat di Lorong Ahad, kawasan pekarangan luar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di sini kelmarin.
Menurut Noramalina, sambutan luar biasa diterima daripada pengunjung tempatan sejak penganjurannya bermula Rabu lalu.
“Terdapat 20 vendor yang menjual pakaian terpakai seperti baju kurung, jubah, baju Melayu dan beg tangan. Meskipun pakaian terpakai, namun tetap berbaloi kerana kebanyakannya masih dalam keadaan baik dan baru sekali dipakai,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Nor Farahana Ahmad, 45, berkata, dia membeli pakaian raya bagi tiga anaknya yang berusia sembilan, 11 dan 15 tahun.
“Anak-anak tak kisah pakai baju preloved, janji mereka dapat bergaya di pagi raya. Meskipun terpakai tetapi kainnya nampak seperti baharu. Memang berbaloi, saya membelanjakan RM30 untuk tiga pasang baju kurung.
“Jika beli baharu, sudah tentu harganya RM100 untuk tiga pasang baju kurung,” ujarnya.
Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, pihaknya menyokong penuh penganjuran program Bundle Raya di laluan masuk di luar sekolah itu.
















