fbpx

“Isteri mahu terus jala ikan, tiba-tiba datang arus deras”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Suriady ketika ditemui pemberita di Jalan KP 4/9, Kota Perdana, Serdang, hari ini.

SERDANG – Permintaan seorang isteri mahu meneruskan menjala ikan ketika hujan bertukar menjadi tragedi selepas dia dan anak-anaknya terbabit dalam tragedi kepala air di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini semalam.

Suami mangsa, Ahmad Suriady, 40, berkata, detik dia melihat tangan isterinya dalam keadaan terkapai-kapai dibawa arus masih segar dalam ingatan.

Kata lelaki warga Indonesia itu, ini merupakan kali pertama dia menjala ikan di lokasi tersebut bersama keluarganya.

“Kami bertolak dari rumah di Pinggiran Putra pada pukul 3 petang, lama juga kami menjala dan sudah mendapat banyak ikan.

“Saya ajak isteri untuk pulang, namun dia minta saya teruskan menjala sebelum arus deras tiba-tiba datang.

“Saya menjerit meminta mereka semua menyelamatkan diri, namun ada antara mereka yang tergelincir dan dihanyutkan bersama arus,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Suhardy, kejadian tragis itu mengorbankan nyawa isteri dan anaknya, manakala seorang lagi masih hilang dihanyut arus deras.

Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas ketika dia sekeluarga sedang menjala ikan di kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian berlaku saya mahu selamatkan ahli keluarga, tetapi tergelincir pada batu sehingga turut dibawa arus.

“Saya sempat berpaut pada dahan pokok dan menjerit nama isteri sera anak, sedihnya saya hanya nampak tangan mereka terkapai-kapai dalam arus.

“Saya juga berharap anak bongsu berusia empat tahun yang masih hilang ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat wanita pada pukul 12.17 tengah hari tadi.

Jelas beliau, penemuan mayat di Lombong D’Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana itu dianggarkan 10 kilometer dari lokasi kejadian.

“Pada pukul 1.20 tengah hari, pasukan penyelamat menaikkan mayat mangsa dan disahkan meninggal dunia. Pencarian anak mangsa (berusia empat tahun) masih diteruskan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tiga beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana semalam.

Kejadian pada pukul 4.35 petang dimaklumkan sendiri oleh suami mangsa.

terdapat tiga orang kanak-kanak iaitu dua lelaki dan satu perempuan serta seorang wanita dewasa dikhuatiri lemas.

Anak mangsa berusia sembilan ditemukan selamat sekitar pukul 5 petang, manakala seorang lagi berusia 10 tahun dilaporkan lemas pada pukul 7.01 malam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI