KANGAR – Di sebalik kewujudan pelbagai juadah berbuka puasa, kuih tradisional dangai masih menjadi pilihan apabila terus menjadi tumpuan pengunjung Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di sini.
Menurut peniaga Suziani Saleh, 55, kuih tradisional itu antara produk jualannya paling laris selain nasi ulam dan sayur keladi yang turut mendapat permintaan tinggi.
“Saya biasanya menjual dangai ini di pasar malam, pasar tani atau pasar sehari, namun pada bulan puasa ini, jualan kuih ini meningkat mendadak.
“Sebagai persediaan, saya menyediakan 4 kilogram bahan seperti kelapa parut, tepung pulut, gula sedikit garam yang boleh menghasilkan sehingga 150 pasang dangai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Lebih menarik, Suziani yang ditemani suaminya membancuh semua bahan-bahan itu sebelum membakar juadah berkenaan di gerai jualannya bagi memastikan kualiti terbaik untuk pelanggannya.
Wanita tersebut menjual dangai biasa pada harga RM1.20 sepasang, manakala dangai jagung pula RM1.50. Sekiranya mempunyai bekalan durian, dia turut menghasilkan dangai durian.
Tambahnya, pembuatan dangai tidak terlalu susah dan campuran yang disediakan dibakar dalam acuan besi sehingga garing dan ini hanya memakan masa selama tujuh minit.














