fbpx

Wanita maut, motosikal rempuh lembu lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian seorang wanita maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Kota Bharu dekat Bukit Ah Kim, Kuala Krai semalam. FOTO IHSAN POLIS

KUALA KRAI – Seorang wanita yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Kota Bharu dekat Bukit Ah Kim, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi itu, mangsa, Norsyamimi Mayedin,35, yang bekerja di syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Radicare (M) Sdn. Bhd. di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chuchoh Puteri B menghala tempat kerjanya di HSIP.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Demak DV110 ditunggang mangsa telah merempuh seekor lembu yang sedang melintas jalan.

“Kejadian itu menyebabkan Norsyamimi mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, sebanyak 23 kes kemalangan melibatkan haiwan peliharaan berlaku di Kuala Krai sejak Januari lalu hingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 20 kes membabitkan kerosakan kenderaan, dua kes kecederaan dan satu kes maut yang berlaku semalam.

“Pengguna jalan raya perlu berhati-hati semasa berada di sekitar kawasan Kuala Krai terutamanya di kawasan Telekong, Keroh, Batu Jong, Pahi, Bukit Ah Kim dan Laloh yang merupakan kawasan kemalangan melibatkan haiwan ternakan.

“Pemilik lembu ternakan dinasihatkan agar memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dilepaskan sewenang-wenangnya kerana ia dikhuatiri boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI