BAGI wanita, berhadapan dengan kanser payudara merupakan satu hal yang amat merisaukan mereka.
Namun begitu, mereka tidak boleh lari daripada masalah itu.
Di Malaysia, kanser payudara adalah kanser yang paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita.
Malah, ada wanita yang berhadapan dengan kanser payudara triple negatif atau triple negative breast cancer, (TNBC).
Oleh yang demikian, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) telah berganding bahu bersama MSD Malaysia menganjurkan kempen ‘I Can, We Will’.
Kolaborasi itu memberi fokus kepada TNBC dengan matlamat untuk memperkasakan wanita menerusi pengetahuan dalam menentang subjenis kanser payudara agresif berkenaan.
Biasanya, subjenis kanser itu akan menjejaskan wanita muda di bawah umur 40 tahun.
Pakar Perunding Klinikal Onkologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Jennifer Leong berkata, TNBC berlaku antara 12 peratus hingga 17 peratus daripada keseluruhan kes kanser payudara di negara ini.
Menurutnya, berbanding dengan kanser payudara lain, TNBC merupakan sejenis kanser yang agresif kerana berkembang dengan cepat, lebih cenderung tersebar pada masa ia dikesan, dan cenderung untuk berulang selepas rawatan.
“TNBC tidak mempunyai mana-mana reseptor yang biasanya terdapat dalam tisu payudara dan sel kanser payudara.
“Ini termasuk reseptor estrogen (ER) dan progesteron (PR) dan protein yang dikenali sebagai HER2 (reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia 2),” katanya.
Tambahnya, keadaan itu menjadikan TNBC lebih mencabar untuk dirawat kerana tidak memberi respons kepada beberapa jenis rawatan.
Mengulas lanjut, Dr. Jennifer berkata, biasanya, doktor akan merawat pesakit dengan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi sebagai sebahagian daripada pelan rawatan.
“Oleh kerana kekurangan reseptor ER/PR dan protein HER2, rawatan tertentu seperti terapi hormon atau terapi sasaran HER2 tidak sesuai untuk pesakit TNBC.
“Namun, dalam beberapa tahun terkini, ketersediaan terapi baharu yang inovatif seperti imunoterapi telah memberikan lebih banyak pilihan rawatan kepada pesakit TNBC.
“Ini memberikan mereka harapan baru untuk menentang penyakit berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Datuk Dr. Saunthari Somasundaram berkata, walaupun kanser payudara sering menjadi topik perbualan, namun ramai yang mungkin tidak sedar bahawa terdapat pelbagai jenis kanser payudara.
“Setiap jenis kanser payudara ini mempunyai ciri-ciri uniknya tersendiri.
“Oleh itu, penting bagi kita untuk meningkatkan usaha dalam memberi maklumat tepat kepada orang ramai mengenai TNBC.
“Ia bagi membolehkan pengesanan awal dan rawatan sesuai dapat diberikan tepat pada masanya, sekali gus memastikan kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup lebih baik,” jelasnya.
Selain merawat TNBC, sokongan mencukupi kepada pesakit secara holistik juga penting untuk kesejahteraan dan pemulihan mereka.
Presiden BCWA, Kim Lim yang juga merupakan pesakit TNBC yang telah pulih menyatakan, sistem sokongan dapat memberikan kesan positif kepada pesakit.
Ujarnya, ia memberi keyakinan kepada pesakit bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan kanser.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan NCSM dan MSD dalam meningkatkan kesedaran mengenai TNBC.
“Pada masa sama, kempen ini menyediakan platform kepada pesakit untuk berhubung dan berkongsi antara satu sama lain.
“Inisiatif ini datang pada masa yang tepat kerana kami turut menyertai organisasi sehaluan lain di seluruh dunia. Ia bagi meningkatkan kesedaran mengenai TNBC, selain daripada meraikan sambutan Hari TNBC baru-baru ini,” katanya.
Tambahnya, perbincangan mengenai TNBC dan kanser payudara juga perlu diteruskan serta tidak terhad kepada bulan kesedaran kesihatan atau hari tertentu sahaja.















