fbpx

Arus deras, penglihatan terhad sukar pencarian kotak hitam AW139

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM ketika melakukan pencarian kotak hitam helikopter AW139 di perairan Pulau Angsa. - Foto IHSAN APMM

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghadapi kesukaran mencari kotak hitam helikopter jenis AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, Klang, Selangor pada 5 Mac lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, pihaknya menghadapi kesukaran akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut yang berlumpur.

Katanya, pada pencarian fasa kedua melibatkan 21 penyelam penyelamat agensi berkenaan akan memfokuskan keluasan pencarian lokasi kotak hitam antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter tersebut.

“Selain penyelam penyelamat APMM, misi pencarian ini turut melibatkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak tersebut dikesan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebuah helikopter jenis AW 139 dengan nombor pendaftaran M72-01 itu melakukan pendaratan cemas ketika melakukan aktiviti latihan menyelamat di perairan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa iaitu Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim dilaporkan selamat.

Helikopter itu kemudiannya dibawa naik kira-kira pukul 12.15 tengah malam hari sama sebelum dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI