fbpx

Syarikat kontraktor Nepturis dibantu Wan Saiful bertaraf empat bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat kontraktor, Nepturis Sdn. Bhd. memperoleh penarafan empat bintang oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Nepturis dikatakan syarikat yang dibantu oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Penolong Jurutera CIDB, Siti Nooraishah Afzan Zainal Abidin, 36, berkata, penarafan itu diketahui setelah semakan semula dibuat dalam Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS) milik agensi terbabit.

“Saya sahkan keputusan penarafan selepas Contractor Compliance Assurance (CCA) adalah muktamad dan tiada permohonan rayuan dibuat selepas keputusan dikeluarkan.

“Saya sahkan syarikat hanya boleh membuat permohonan selepas tempoh satu tahun daripada tarikh keputusan dikeluarkan dan setelah sistem CIMS dibuka oleh CIDB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksi pada hari kedua perbicaraan terhadap Wan Saiful yang berdepan 18 kes pengubahan wang haram dan dua rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa berhubung penarafan bintang daripada CIDB, saksi itu berkata, pengiktirafan tersebut membantu pelanggan menyenarai pendek ketika memilih kontraktor berkaliber dan berkemampuan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad mengenai penilaian skor, Siti Nooraishah berkata, beberapa pegawai akan terlibat memproses permohonan syarikat termasuk beliau sendiri.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada dirinya terlibat dalam proses permohonan Nepturis termasuk menyemak status bumiputera syarikat berkenaan.

Amer Hamzah: Adakah kamu proses permohonan Nepturis Sdn. Bhd.?
Siti Nooraishah: Saya tidak pasti sebab semakan perlu dibuat oleh pegawai atasan.

Amer Hamzah: Maksudnya?
Siti Nooraishah: Jika permohonan, ia tidak terus masuk kepada pegawai yang memproses, tetapi ada satu tabung besar akan diagih kepada pegawai proses oleh penyelia.

Pada 21 Februari 2023, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu, Lian Tan Chuan, bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Beliau dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54, melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 29 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI