fbpx

Rosmah gagal permohonan akhir cabar pelantikan Sri Ram kes rasuah solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam permohonan akhir untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas menolak
permohonan akhir Rosmah, 73, selaku pemohon.

Dalam penghakiman ringkasnya, Abang Iskandar berkata mahkamah mendapati permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 yang mewajarkan ia dibenarkan.

“Mahkamah berpuas hati, persoalan undang-undang tersebut juga bukan berbentuk kepentingan awam yang perlu diketengahkan di hadapan panel,” kata Abang Iskandar yang turut memerintahkan Rosmah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hasan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Dengan keputusan itu, prosiding rayuan Rosmah untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta akan diteruskan di Mahkamah Rayuan dan tarikh baharu bagi pengurusan kes rayuan itu pada 23 April ini.

Semasa prosiding Rosmah diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin bertindak sebagai responden.

Bagaimanapun hari ini, Rosmah tidak hadir ke mahkamah kerana kehadirannya tidak diwajibkan kerana keputusan kes hari ini adalah kes membabitkan kes sivil.

Pada 22 Jun 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Namun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, selain didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di dengar di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu Rosmah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022 dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI