fbpx

Makmal patologi usang akan dinaiktaraf dengan teknologi terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Bukit Aman, hari ini. Foto M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menaiktaraf makmal patologi di Malaysia berikutan ia menggunakan peralatan usang yang berusia hampir 30 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan itu amat penting kerana ia terkait dengan perundangan apabila bahan-bahan (dadah) tersebut perlu diabsahkan menerusi makmal.

Menurutnya, cadangan itu melibatkan kerja-kerja menaiktaraf lapan daripada 14 makmal dadah sedia ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak selain menubuhkan enam makmal baharu di Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

“Jadi, Mesyuarat JKMD memutuskan KKM untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi memperolehi peruntukan penggantian baharu makmal dengan teknologi terkini.

“Anggaran kos berjumlah RM230 juta tertakluk kepada peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi tempoh pelaksanaan selama 10 tahun secara berfasa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat JKMD, di Bukit Aman di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan setelah arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Nombor 1 2024: Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah diluluskan bagi menggantikan Arahan Perdana Menteri Nombor 1 2004.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, naratif Pelan Komunikasi Membanteras Gejala Dadah perlu dilihat semula dan tidak menggunakan pendekatan konvesional untuk mendekati kumpulan sasaran.

“Benar, pencegahan mesti dilakukan tetapi pemulihan wajib dibuat dengan segera kerana terdapat pertambahan dan penagihan ini bermula daripada pengedaran, jadi mesti ada permintaan dan ada penawaran.

“Oleh sebab itu, sistem komunikasi mesti mengambil kira kumpulan sasaran yang berbeza termasuk meningkatkan langkah perundangan dan penguatkuasaan yang masih ada kelompongan,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat tersebut turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk perbincangan khusus mengenai status Rang Undang-Undang (RUU) Kawal Selia Platform e-Dagang.

“Penjualan dan transaksi dalam talian ini memang ada dan KPDN sudah diberi tanggungjawab untuk melihat semula peruntukan (akta) sedia ada berkaitan e-Dagang.

“Sekarang, ia satu ancaman baharu bukan sahaja melalui cecair (vape) yang ada komponen dadah tetapi pemasarannya menggunakan platform media sosial,” jelasnya. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI