fbpx

KKDW peruntuk lebih RM50 juta untuk pembangunan KEDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM50.716 juta untuk pelaksanaan 25 projek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, peruntukan berkenaan meliputi sebelas projek prasarana bernilai RM30.5 Juta, enam projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM8.45 juta, lima projek pembangunan modal insan sebanyak RM8.875 juta dan tiga projek usahawan dengan kos RM2.85 juta.

“Selain itu, KEDA turut memperuntukkan RM11.3 juta melalui sembilan program bantuan ekonomi dan keusahawanan yang memfokuskan kepada peniaga, petani dan usahawan,” katanya ketika menyempurnakan program iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al- Falah, Felda Sungai Tiang, Pendang, semalam.

Pada majlis sama, Datuk Seri Zahid yang juga Menteri KKDW menyerahkan geran hak milik rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa KEDA Teluk Teduri, Baling kepada 11 keluarga melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Turut disampaikan, bantuan bagi Program bantuan Ekonomi dan Keusahawanan KEDA berjumlah RM2.585 Juta kepada wakil penerima.

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM75,000 telah diserahkan kepada wakil kepimpinan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa-Desa KEDA seluruh negeri Kedah bagi Program Pengimarahan Masjid sepanjang bulan Ramadan.

Selain itu, lima bantuan berjumlah RM 100,000 disampaikan kepada penerima Program Agromakanan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta pemberian bantuan kelengkapan sekolah melalui Program `Welcome to School’ sumbangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada 144 murid di Zon Pendang sebanyak RM21,600.

Tidak ketinggalan, sumbangan duit raya kepada 100 orang pelajar tahfiz, anak yatim, ibu tunggal dan guru agama dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Majlis Santunan Kasih Ramadan yang merupakan merupakan lokasi ke-8 dari 10 lokasi bagi tahun ini berjaya menarik hampir 2000 rakyat setempat. Majlis berikutnya bakal diadakan di Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI