fbpx

“Dia bawa lori macam mana, tak tengok orang ke”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Proton Wira yang terperosok di bawah treler dalam nahas di Jasin, Melaka, pagi tadi.

JASIN – Suasana di lokasi kemalangan maut di hadapan sebuah kilang kaca di sini bertukar pilu apabila waris mangsa meraung meluahkan rasa kecewa terhadap pemandu treler yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu, mangsa, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, yang memandu kereta Proton Wira disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala.

Suasana hiba itu turut tular menerusi satu klip video berdurasi 44 saat yang rakamkan orang ramai di lokasi berkenaan pagi tadi.

Dalam video itu seorang wanita dilihat meraung kepada ahli keluarganya mempersoalkan cara pemanduan pemandu treler tersebut.

“Dia bawa lori macam mana Man?. Itu ayah kau lah Man, ayah kau. Kenapa dia bawa lori macam tu, dia tak tengok orang ke,” soal wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan mendapati nahas berlaku selepas kereta dipandu si mati gagal mengelak treler berkenaan yang menuju ke simpang keluar menghala ke Lipat Kajang.

“Treler yang dipandu lelaki berusia 60 tahun itu datang dari arah kilang kaca menuju ke jalan besar menghala ke Lipat Kajang.

“Setibanya di lokasi kereta dipandu si mati dari arah bertentangan gagal mengelak treler yang keluar simpang menyebabkannya terperosok di bawah kenderaan berat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI