fbpx

Bomba siasat pempengaruh redah premis pakaian terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hisham menyampaikan APC kepada salah seorang anggota bomba pada Majlis Penyampaian APC dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat JBPM Kedah, Suka Menanti di Alor Setar, hari ini. - Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pempengaruh yang juga pemilik jenama pakaian memasuki premisnya yang sedang terbakar di Bangi, Selangor, kelmarin.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, tindakan lelaki itu dianggap membahayakan nyawanya selain mendatangkan risiko kepada orang awam.

“Saya mengarahkan supaya siasatan dibuat terhadap kandungan TikTok ini, bagaimana pegawai kita cuba menghalang pemilik daripada masuk ke dalam premis (yang terbakar), tetapi dimaklumkan bahawa beliau melanggar arahan pegawai.

“Kita juga melihat bagaimana penggunaan Akta 341 (Akta Perkhidmatan Bomba 1988) untuk kita mengambil tindakan tetapi memerlukan siasatan. Saya arahkan tubuh jawatankuasa oleh Bahagian Siasatan dan Keselamatan Kebakaran. Insya-Allah kita akan dapat keputusan terdekat,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Kedah dan Perlis di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang satu video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan pempengaruh tersebut memasuki premis butik pakaiannya yang terbakar di Bangi.

Akhbar turut melaporkan kebakaran di butik baju Melayu di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi itu mengakibatkan dua pekerjanya sesak nafas.

Nor Hisham menambah, anggota bomba mempunyai prosedur keselamatan yang menjadi amalan untuk memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku jika berlaku kebakaran

“Dari segi keselamatan itu, yang saya risau. Kalau kita tengok bomba dia pakai BA (alat penafasan). Jangan kerana konten sampai mengancam nyawa,” katanya.

Selain itu, katanya, JBPM Selangor turut menjalankan siasatan terhadap punca kebakaran tersebut yang dikatakan berpunca daripada longgokan kotak di lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI