fbpx

Lelaki patah kaki ketika kejar peragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular mangsa membonceng motosikal peragut dalam kejadian di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki patah kaki kanan ketika cuba menyelamatkan rantai leher yang diragut selepas terjatuh dalam kejadian di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, wanita tempatan berusia 23 tahun membuat laporan berhubung insiden ragut rantai itu pada pukul 2.22 petang.

Katanya, ketika kejadian dia bersama teman lelakinya sedang berjalan di kaki lima kedai sebelum diragut seorang penunggang motosikal.

“Suspek merentap rantai leher jadi teman lelakinya mengejar peragut tersebut.

“Teman lelakinya berjaya membonceng motosikal suspek, namun suspek memecut kenderaan menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhentak selain patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan kini masih dalam trauma.

Ahmad Sukarno memaklumkan pihaknya sedang mengesan beberapa klip video berkenaan insiden tersebut yang tular di media sosial.

“Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkenaan insiden ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI