fbpx

Kanak-kanak perempuan maut tercampak keluar dari kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kemalangan di Kilometer (KM) 283 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan dekat Nilai pada Khamis lalu sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan maut diminta tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, mangsa, Hana Medina Shahrin meninggal dunia ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala selepas dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi itu.

Kata beliau, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang lelaki bersama empat penumpang dengan sebuah kenderaan serbaguna jenis Toyota Alphard yang dipandu oleh seorang lelaki 24 tahun bersama empat penumpang.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati, semasa kejadian pemandu Toyota Alphard yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu telah hilang kawalan lalu melanggar pada bahagian belakang kiri kereta Bezza yang dalam perjalanan dari Kajang ke Melaka.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Bezza hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan raya. Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang merupakan salah seorang penumpang kereta Bezza telah tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Malik berkata, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di nombor 012-9122198.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI