fbpx
NOTIS tutup operasi kilang edar stoking tertera kalimah Allah di Batu Pahat, Johor hari ini.

Jaga sensitiviti agama elak diboikot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA terdiri daripada masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang terbentuk ini secara tidak langsung melibatkan kepada kepelbagaian budaya, kepercayaan dan sebagainya.

Kepelbagaian ini secara dasarnya merupakan perkara positif berikutan wujudnya peluang kepelbagaian kaum untuk mengenali penganut agama lain.

Namun, tidak dapat dinafikan menerusi kepelbagaian yang wujud ini kadang-kala ia juga menimbulkan kesan negatif dalam hubungan antara penganut agama terutamanya apabila sensitiviti setiap agama tidak difahami dan dijaga sebaiknya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Selepas tular isu berkenaan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.

Rentetan isu berkenaan, masyarakat di negara ini terutama masyarakat Islam mula melancarkan boikot untuk tidak membeli barangan di kedai serbaneka syarikat berkenaan.

Daripada boikot yang dilancarkan ini dilihat sangat memberi tekanan terhadap syarikat berkenaan selain boleh menyebabkan keuntungan syarikat berkenaan tidak tercapai.

Dalam itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai serbaneka, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan tiada penghinaan terhadap agama khususnya Islam.

Anwar juga menasihatkan kepada rakyat agak tidak berterusan dengan perbincangan itu seolah-olah ia merupakan malapetaka besar dalam negara.

Semantara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mana-mana syarikat di negara ini perlu menjaga sensitiviti pengguna terutama melibatkan agama.

Katanya, jika isu seperti ini berlaku secara tidak langsung menyebabkan orang ramai menggunakan kuasa dan hak mereka untuk tidak menyokong syarikat berkenaan.

“Kita sebagai pengguna, kita mempunyai hak dan pilihan sama ada ingin membeli atau tidak.

“Kita sebagai pengguna juga boleh membuat keputusan untuk memboikot atau tidak jika mereka ini tidak menjaga sensitiviti masyarakat.

“Boikot ini juga biasa di negara-negara luar dimana ada syarikat yang tidak mesra terhadap agama atau mana-mana kumpulan, pengguna mempunyai hak untuk melakukan tindakan,” katanya kepada Kosmo!.

Hishamuddin juga berkata, mana-mana syarikat di negara ini untuk terus menjaga sensitiviti masyarakat bagi mengelak boikot terus berlaku.

“Isu stoking ini terlalu besar dan sensitif, boikot ini adalah memberi pengajaran atas apa yang berlaku.

“Ini juga bagi memberi teladan kepada syarikat lain. Harap perkara ini tidak berulang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN