fbpx

e-Dereg mudahkan proses lupus kenderaan terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke.

PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Dalam Talian (e-Dereg) bagi membantu menangani masalah lambakan kenderaan terbiar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan isu lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan sudah lama membelenggu penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses dan pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar.

“Justeru, sistem e-Dereg membolehkan pemilik asal melupuskan kenderaan dengan proses pembatalan pendaftaran secara dalam talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya ketika melawat premis pelupusan kenderaan motor, Car Medic Sdn. Bhd. di Kajang, hari ini.

Car Medic merupakan projek rintis Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dikenali sebagai Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) bagi melupuskan kenderaan secara teratur dan memenuhi semua peraturan ditetapkan.

Anthony berkata, setakat ini, sebanyak 10 syarikat diberikan lesen oleh JAS untuk beroperasi sebagai AATF, namun hanya dua sudah beroperasi sepenuhnya termasuk Car Medic dan Jaring Metal Industries Sdn. Bhd. di Shah Alam.

“Pemilik kenderaan perlu menghubungi Car Medic untuk mengatur temujanji bagi tarikh menunda kenderaan dan pemilik diperlukan hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg,” jelasnya.

Tambah Anthony, yuran penundaan kenderaan akan ditanggung oleh Car Medic dan pemilik kenderaan juga akan diberikan token pampasan bergantung kepada kondisi dan model kenderaan serta jarak lokasi tunda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI