BESUT – Ahli keluarga Ayah Pin atau Ariffin Mohammed menafikan dakwaan mengatakan mereka terlibat dalam gerakan untuk cuba menghidupkan semula ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’ seperti didakwa.
Ahli keluarga terdekat Ayah Pin berkata, mereka terbuka untuk disiasat dan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Kalau (pihak berkuasa) hendak tahu apa-apa, tanyalah (kepada mereka). Semua (dakwaan sebar semula ajaran Ayah Pin) itu fitnah, saya tidak tahu apa-apa.
“Jangan mudah, orang buat laporan terus ambil tindakan. Kami dulu pernah kena (tangkap), naya,” katanya kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika meninjau penempatan waris Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini kelmarin.
Terdahulu dia dan ahli keluarga menerima kunjungan Mazli serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Penempatan tersebut yang dahulunya markas ‘Kerajaan Langit’ seluas kira-kira 2.3 hektar dihuni 124 ahli keluarga Ayah Pin.
Wanita itu juga merayu agar disiasat dengan seadilnya kerana sebahagian ahli keluarganya sudah kurang sihat dan uzur atas faktor usia.
Dia mengakui kurang selesa dan sukar menerima kehadiran orang luar ke penempatan mereka demi menjaga privasi.
Sementara itu, Mazli berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan ahli keluarga Ayah Pin berhubung dakwaan cubaan menghidupkan semula ajaran sesat tersebut.
Begitupun, beliau menegaskan, pihaknya akan tetap bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu untuk terus melakukan pemantauan bagi mengekang sebarang usaha penularan ajaran sesat terbabit.
Ahad lalu Kosmo! melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu.
Sebelum ini Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sebagai sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997.














