fbpx

Bukan video samun, tetapi warga asing bergaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular sekumpulan lelaki warga asing berkumpul melihat seorang lelaki berlumuran darah akibat pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menafikan video tular sejak pagi tadi yang didakwa berkaitan lelaki tempatan menyamun warga asing sehingga cedera parah dalam kejadian di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, sebaliknya kejadian sekitar pukul 9.24 malam, Ahad lalu itu membabitkan pergaduhan warga asing di sebuah rumah kongsi, di sekitar pasar borong tersebut.

Katanya, seramai empat orang mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menangkap dua lelaki warga Myanmar berusia 20 dan 21 tahun yang terlibat dengan kes ini.

“Motif pergaduhan adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara suami isteri. Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, Ahmad Sukarno memaklumkan, kedua-dua suspek direman bermula Isnin lalu sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah klip video berdurasi 4 minit 55 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai bangsa Myanmar berkumpul di kaki lima bangunan kedai, lokasi kejadian.

Video tersebut turut ditularkan dengan mesej ‘India curi Rohingya punya rumah’ yang mana mendakwa berlaku pergaduhan antara lelaki tempatan berbangsa India dan lelaki warga Myanmar.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, sebaliknya semakan mendapati individu yang terlibat dengan pergaduhan itu adalah lelaki warga Myanmar yang berbangsa India dan video tersebut disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak benar dan tidak berasas yang tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini. Sebarang maklumat berhubung insiden boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI