fbpx

Tiada lagi penangguhan, rayuan pembebasan Ahmad Zahid 9 September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir/Kosmo!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 9 September ini bagi tarikh akhir pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pada tarikh itu, selain pendengaran rayuan pihak pendakwaan, mahkamah juga akan mendengar status dua representasi yang dikemukakan Ahmad Zahid, 71,.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya baru memfailkan representasi kedua pada Februari lalu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.

Pada prosiding itu, Hakim Hadhariah turut mengingatkan semua pihak bahawa panel bersidang telah bersedia untuk mendengar rayuan hari ini meskipun ia melibatkan nota prosiding yang banyak.

“Saya baca rekod rayuan dari A hinggga Z, sampai kes lain pun saya tak sentuh. Nota prosiding terlalu banyak, beribu-ribu muka surat dan memang memenatkan.

“Saya tidak mahu cakap banyak sebab pihak pendakwaan pun tiada bantahan (terhadap permohonan penangguhan). Saya beri tarikh akhir, saya mahu semua perkara berkaitan representasi diputuskan,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar tidak membantah sekiranya penangguhan dibenarkan mahkamah.

Dalam petisyen rayuan yang pada 29 Disember 2022, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Ahmad Zahid kemudian mengemukakan representasi pertama kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari 2023 manakala representasi kedua pada Februari tahun ini untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuannya.

Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI