PADA bulan September tahun lalu, Volvo Car Malaysia telah mengumumkan kemas kini pada rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) mereka seperti Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 bagi tahun 2024.
Kemas kini tersebut akan melengkapi model-model yang dikeluarkan sejak detik itu yang turut menampilkan warna baharu bergaya, Vapour Grey (kelabu).
Selain itu, selaras dengan aspirasi Volvo ke arah elektrifikasi juga, semua model PHEV 2024 akan dilengkapi dengan pengecas bersepadu (on-board charger ataupun OBC).
Ciri-ciri itu menyebabkan kemampuan menampung sehingga 6.4 kilowatt (kW) dengan pengecasan dua atau tiga fasa untuk tempoh pengecasan yang lebih pendek. Menerusinya pengguna boleh mengecas penuh kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dalam tempoh lima jam saja, lebih cepat berbanding tempoh cas terdahulu.
Bagaimanapun, pengguna juga diberi pilihan jika mahu kembali ke mod 3.6kW bagi pengecasan fasa tunggal.
Naik taraf ini membolehkan pemilik menikmati perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya secara lebih lancar dengan tempoh pengecasan yang lebih singkat.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model XC60 Recharge yang berwarna Vapour Grey itu selama beberapa hari.

Pembelian model ini turut hadir bersama Perkhidmatan Digital percuma selama lima tahun termasuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars untuk semua model baharu.
Satu lagi yang menarik ialah tambahan aplikasi YouTube kepada sistem infotainment Google built-in. Cuma, ia tidak dapat ditonton ketika kenderaan sedang bergerak, mungkin atas faktor keselamatan.
Dari segi enjin, ia masih menggunakan jenis 2.0 liter turbo bersama motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 462PS.
Gandingan transmisi lapan kelajuan automatik juga mampu menghasilkan tork sehingga 709Nm.
Kuasa yang dihasilkan itu mampu membolehkan SUV ini memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.8 saat sahaja.
Bagaimanapun, kelajuan maksimum ditetapkan pada 180 km/j sama seperti model-model Volvo lain. Atas kertas, kombinasi penggunaan petrol yang dinyatakan ialah 1.6 liter untuk perjalanan sejauh 100km.
Kenderaan pacuan semua roda (e-AWD) ini juga menggunakan tangki petrol bersaiz 71 liter.

Volvo juga memaklumkan kenderaan ini mampu bergerak sejauh 81 kilometer hanya dengan menggunakan bateri jarak jauh berkuasa 18.8kWh.
Perkara lain yang penulis minat dengan SUV ini ialah penggunaan sistem audio jenama Bower & Wilkins dengan output 1410W. Ciri-ciri ini hadir dengan 15 speaker, 15 channels dengan subwoofer.
Empat mod bunyi ditawarkan seperti Studio, Individual Stage, Concert Hall dan Jazz Club. Ia memberikan keselesaan dan kepuasan tersendiri.
Ciri-ciri lain dalam kabin adalah seperti skrin sentuh bersaiz sembilan inci, penghawa dingin dua zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori serta tombol gear kristal Orrefors.
SUV ini juga hadir dengan dua booster seat pada tempat duduk belakang.
Kesimpulannya, penulis secara peribadi lebih memilih kenderaan PHEV berbanding kenderaan elektrik (EV) untuk perjalanan jauh tanpa perlu risau mencari tempat mengecas.
Dalam masa sama, dapat menjimatkan penggunaan petrol kerana sekiranya kenderaan ini dicas penuh ia mampu bergerak sehingga 81 kilometer (sepenuhnya elektrik).














