fbpx

All England: Zii Jia tumbang di suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASRAT Zii Jia untuk melangkah ke separuh akhir All England berkecai selepas tewas kepada Lakshya di suku akhir sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Perjalanan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton All England menemui titik noktah apabila tersingkir di pusingan suku akhir sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham itu, Zii Jia dipaksa bermandi peluh sebelum tewas 22-20, 16-21, 19-21 kepada pemain India, Lakshya Sen dalam tempoh lebih sejam.

Dalam perlawanan cukup menghiburkan itu, Zii Jia menampilkan aksi cukup garang di set pertama apabila memanfaatkan setiap peluang untuk melakukan pukulan smash kencang ke arah lawannya sebelum menang 22-20.

Lakshya yang tersentak dengan kekalahan set pertama kembali memperkemaskan permainan di set berikutnya dan menang 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan yang menyaksikan dia melengkapkan kemenangan 21-19.

Untuk rekod, ini adalah kekalahan keempat Zii Jia kepada pemain No.18 dunia itu dalam lima perlawanan dengan pertemuan terakhir pada Terbuka Indonesia Jun tahun lalu turut memihak kepada pemain India berkenaan.

Menerusi kekalahan itu, Zii Jia tampaknya perlu menunggu lebih lama untuk kembali merampas kejuaraan yang pernah dimenanginya ketika menjadi juara All England pada edisi 2021.

Menanti Lakshya di pusingan separuh akhir nanti adalah pemenang antara pemain Indonesia, Jonatan Christie dan pilihan kedua dari China, Shi Yuqi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI