KESIBUKAN dihambat jadual kerja bukan halangan untuk Awal Ashaari menitikberatkan perihal keluarga lebih-lebih lagi soal mendidik anak-anak dengan ilmu akademik dan agama.

Awal guna strategi didik anak puasa penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA umat Islam seluruh dunia teruja menyambut kedatangan Ramadan, perasaan sama turut dikongsikan pengacara popular Awal Ashaari terutama dalam soal mendidik dua cahaya matanya menghayati keindahan bulan suci dalam kalendar Islam tersebut.

Meskipun anak-anaknya masih kecil, pemilik nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari itu tidak melepaskan peluang memberikan tunjuk ajar terbaik supaya lebih mencintai agama.

“Ramadan kali ini saya mahu fokus kepada ibadah. Bukan hanya buat perkara baik sepanjang bulan ini, bahkan saya mahu lebihkan kepada anak-anak.

“Masa inilah digunakan untuk mengajar puasa, bangun sahur dan solat tarawih kerana banyak pengisian Ramadan perlu diterapkan kepada anak-anak,” kata Awal, 43, membuka bicara.

Kongsinya, anak sulung iaitu Lara Alana yang kini sudah berusia 10 tahun sudah berpuasa penuh pada tahun lepas juga sangat menantikan kehadiran Ramadan.

Awal memberi tunjuk ajar kepada dua cahaya matanya iaitu Lara dan Lyla untuk berpuasa penuh tanpa sebarang paksaan. – AMARULLAH ZAINUZZAMAN

“Lara sudah mula puasa penuh pada tahun lalu dan dia tidak sabar untuk melaksanakan ibadah sama pada tahun ini pula.

“Dia sangat suka idea bangun sahur dan solat bersama-sama. Malah, seronok untuk mendirikan tarawih,” ujar suami kepada pelakon Scha Alyahya itu.

Ditanya mengenai tradisi Ramadan pada setiap tahun, Awal sangat mengutamakan masa bersama keluarga terutama pada waktu berbuka dan bersahur.

“Kami sekeluarga tiada tradisi sepanjang Ramadan tetapi setiap kali berbuka puasa hari pertama, kedua dan ketiga kami akan berbuka bersama-sama.

“Hari pertama dan kedua sama ada di rumah mak saya atau mak mentua, manakala hari ketiga berbuka di rumah dan buat persediaan berbuka bersama-sama.

“Kami jarang makan sekali, itu yang buat Lara suka berpuasa kerana dapat nikmati juadah bersama-sama,” kongsinya lagi.

Biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai usahawan dan anak seni, Awal sentiasa menitikberatkan soal akademik dan ilmu agama anak-anak.

Didikan puasa 

Seperti sedia maklum, anak sulung Awal dan Scha itu mampu menghabiskan puasa selama 30 hari dalam bulan Ramadan.

Ibarat melentur buluh biarlah daripada rebung, pendekatan yang digunakan Awal dan Scha dalam mendidik anak-anak berpuasa pada usia muda ternyata berkesan.

Kata pengacara Bintang RTM 2024 itu, Lara sememangnya sudah diasuh dengan ibadat dan budaya berpuasa sejak kecil.

“Dari dahulu susah juga nak didik Lara berpuasa. Saya dan Scha ajar secara berperingkat seperti puasa beberapa jam dulu.

“Kemudian, kami minta dia puasa sedikit demi sedikit. Ajar sampai dia faham untuk berpuasa penuh sehari sehingga lama-kelamaan dia mampu buat penuh.

“Kami juga ada perkenalkan unsur upah kepada Lara seperti dapat RM10. Benda itu dapat memberikan semangat untuk dia berpuasa,” tuturnya.

Bagaimanapun, Awal masih mengambil masa buat anak keduanya iaitu Lyla Amina yang baru berusia tiga tahun untuk menerapkan amalan berpuasa.

“Insya-Allah saya akan terapkan benda sama kepada Lila tetapi dia susah sikit.

“Cara mengajar mungkin agak berbeza sikit. Cuma dia suka idea solat beramai-ramai. Itu dia sudah faham dan memang dia sendiri mahu lakukan bersama-sama,” ujar Awal lagi.

“Jadual seni bukanlah kosong sewaktu Ramadan tetapi saya lebih memilih. Ada benda yang boleh dan tidak boleh.

Laluan baharu

Dalam masa sama, Awal juga tidak kurang sibuk dengan jadual kerja tetapi dia lebih memfokuskan kepada keluarga.

“Jadual seni bukanlah kosong sewaktu Ramadan tetapi saya lebih memilih. Ada benda yang boleh dan tidak boleh.

“Minggu pertama mungkin tidak pergi mana-mana jemputan nanti hujung-hujung baru saya pergi,” katanya.

Tambah Awal, dia mahu mencuba cari minat baharu sekiranya tidak lagi meneruskan kerjaya dalam bidang seni pada kemudian hari.

“Sekarang belum ada rancangan televisyen. Saya lebih kepada buat kerja luar kerana peluang lebih banyak.

“Saya ada juga rancangan lain sekiranya mahu keluar dari bidang seni. Macam kawan-kawan lain, mereka ada bisnes sendiri.

“Saya dan Scha belum ada apa-apa rancangan lagi. Kami masih mencari-cari apa yang boleh dilakukan,” tuturnya menggulung perbualan.

Berada dalam industri seni tanah air terutama sebagai pengacara, Awal sangat disenangi ramai rakan artis dengan personalitinya yang sangat ramah dengan orang sekeliling.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN