fbpx

Rumah polis pun kena pecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah anggota polis yang dipecah masuk suspek semalam. Foto ihsan PDRM

SUBANG – Dua lelaki tempatan diberkas selepas dipercayai memecah masuk rumah seorang anggota polis di SS15/7, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis lelaki berusia 35 tahun pada pukul 12.14 tengah hari semalam.

Katanya, rumah berkenaan dipecah masuk suspek kira-kira pukul 11.50 pagi dan bersenjatakan perengkuh paip.

“Suspek mengambil barangan berharga dan kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian RM15,000.

“Ketika kejadian, hanya seorang penghuni wanita di dalam kediaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menjejaki dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an di Kampung Baru, Rawang, 6.30 petang, semalam, selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Kita menjumpai beberapa barangan dipercayai milik penghuni rumah tersebut.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 18 dan tujuh rekod jenayah serta dadah,” jelasnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta 574 Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Safullah Azid di talian 014-5378217 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI