ALOR SETAR – Ikan belanak masam kini menjadi ‘lauk’ paling dicari dalam kalangan penduduk di negeri ini setiap kali tiba bulan Ramadan apabila dijadikan sebagai menu pembuka selera semasa bersahur.
Penjual ikan masin, Fatimah Dali, 61, berkata, pada tahun ini, ikan belanak masam menjadi pilihan ramai berbanding talang, gelama dan senangin masam.
“Pada Ramadan kali ini, ikan belanak masam yang paling dicari untuk juadah bersahur.
“Pelanggan saya datang dari seluruh Kedah dan ada juga dari luar negeri ini seperti Sabah dan Johor.
“Mereka sanggup datang ke sini untuk mendapatkan ikan masin dan masam untuk dibawa pulang dijadikan juadah sahur,” katanya ketika ditemui di Pasar Kubang Rotan, di sini semalam.
Menurut Fatimah, ikan belanak masam sekiranya digoreng bersama bawang dan cili mampu membangkitkan selera ketika bersahur.
“Ada orang yang tidak berselera hendak menjamah nasi ketika sahur, ikan inilah yang akan membangkitkan selera mereka jika dimakan bersama nasi panas,” ujarnya.
Jelas Fatimah, dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama suami, Azmi Hussin, 64, sejak 25 tahun lalu dengan mendapat bekalan ikan dari Kuala Kedah selain memprosesnya sendiri.
“Permintaan ikan ini memang tinggi, namun bekalan agak berkurangan sejak kebelakangan ini kerana cuaca panas.
“Saya dan suami terpaksa pergi ke Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka di Sungai Petani untuk dapatkan bekalan.
“Walaupun begitu, kami masih menjualnya pada harga sama,” ujarnya.















