fbpx
HUJUNG minggu lalu, suara emas Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencengkam jiwa khalayak, terutama peminat tegarnya menerusi konsert Epitome Saya Siti Nurhaliza. Kelestarian konsert yang pada awalnya mencetuskan kontroversi tersebut sekali gus membuktikan keteguhan empayar seninya yang tidak pernah goyah.

Magis epitome Siti, tabur Surat Harapan buat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKI sudah beberapa hari berlalu, masih segar dalam ingatan momen-momen yang berlaku pada konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac lalu.

Tempoh tiga jam berlansung terasa seperti hanya 30 minit.

Terlalu pantas rasanya masa berlalu sekali gus membuktikan magis Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai seorang penghibur dalam sebuah konsert berskala besar masih tiada tandingan.

Pada usianya, tidak perlu lagi membandingkan kehebatan konsertnya dengan penyanyi lain kerana Siti unggul dalam liga tersendiri.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza juga memaparkan perjalanan karier seninya sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

“Terima kasih kerana hadir pada malam ini dan tidak berhenti menyokong saya sejak 28 tahun lalu.

“Tidak kisahlah nak panggil TokTi atau Mak Iti sebab saya masih Siti Nurhaliza yang anda kenali tetapi saya tertanya, masih ada yang sayang saya lagi ke?” katanya bercanda memulakan bicara.

Siti turut menghiburkan peminat dengan telatah comelnya yang bijak berkomunikasi bersama peminat.

Lebih membuatkan hatinya tersentuh apabila mendapat tahu kisah peminat istimewanya, sebuah keluarga dari Portugal yang gigih ‘berjuang’ bersama ribuan yang lain bagi mendapatkan tiket konsert.

“Selain peminat tempatan, konsert ini dihadiri penyokong dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Saya juga diberitahu ada peminat dari Portugal datang malam ini bersama isteri dan anak perempuannya.

“Seperti peminat lain, dia sanggup ‘berjuang’ di hadapan komputer demi mendapatkan tiket.

“Kami sudah lama tidak berjumpa. Ketika mula berkenalan, anaknya kecil lagi. Sekarang, anak perempuannya hafal semua lagu saya,” tuturnya sambil mengukir senyuman manis.

Menyaksikan kehadiran lebih 12,000 penonton, Siti mengaku terkejut dengan sambutan ramai terhadap konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza berkonsep amal yang dijayakannya itu.

“Imbas kembali ketika konsert ini diumumkan, saya sebenarnya takut, berdebar dan tertanya-tanya ada orang hendak tengok konsert saya?

“Anda buat saya terkejut apabila semua tiket ‘licin’ dalam tempoh dua jam. Ini bukan perkara biasa tetapi luar biasa.

“Namun, dalam keterujaan konsert, anda sebenarnya telah melakukan kebajikan untuk kanak-kanak dan mereka yang menjadi mangsa perang di Gaza, Palestin.

“Semoga Allah SWT memberkati anda semua,” ujarnya.

SITI turut menerbangkan penyanyi Indonesia, Judika untuk bersama-sama menghiburkan peminat.

Palestin, karaoke

Pada konsert tersebut, biduanita kesayangan negara itu sempat menyajikan lima segmen iaitu Mimpi Ke Awan, Surat Harapan, Mega Karaoke dan Bayu Timur, manakala Judika Solo pula menjadi elemen kejutan buat penonton yang hadir.

Memilih 36 buah lagu daripada lebih 250 buah lagu sepanjang 28 tahun bergelar penyanyi bukanlah satu perkara mudah buatnya.

“Saya ada lebih 200 buah lagu, tak mungkin untuk menyanyikan kesemuanya malam ini.

“Jadi, ada lagu yang saya simpan untuk nyanyi pada konsert di Singapura nanti dan sebuah lagi konsert pada Ogos. Jangan marah kalau ada lagu kegemaran anda tidak dipersembahkan ya,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Pada segmen Surat Harapan, Siti mendendangkan lagu-lagu yang ditujukan khas buat mangsa perang di Palestin.

SEPANJANG tiga jam konsert, Siti bertungkus lumus menukar empat persalinan demi memberikan yang terbaik buat peminat.

Selain nyanyian yang penuh penghayatan, penonton turut dihujani ribuan kepingan kertas tertulis nota tulisan tangan istimewa yang turut disertakan tanda tangan Siti.

“Surat harapan. Daripada kami kepada kalian di sana (Palestin), doa kami sentiasa mengiringi.

“Teruslah kuat kerana sinar pasti menanti dan Allah SWT akan melindungi. Salam dari Malaysia,” katanya.

Memasuki babak ketiga, Siti yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan dan barisan pemuzik profesional pimpinan Aubrey Suwito mengejutkan ramai dengan segmen Mega Karaoke.

Jika dinilai semula, tiada lagi penyanyi pernah membuat segmen karaoke iaitu menghimpunkan seleksi lagunya yang menduduki tangga teratas di pusat karaoke seluruh negara.

Antara lagu ialah Kau Kekasihku, Debaran Cinta, Azimat Cinta dan Usah Diragui. Seluruh Axiata Arena menyanyi bersama-sama, ‘level’ lain!

SELAMA tiga jam, Siti menyajikan 36 seleksi lagu hitsnya buat lebih 12,000 pengunjung yang hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Kalau anda nak tahu, Azimat Cinta merupakan lagu paling popular di seluruh pusat karaoke.

“Maaf kalau ada masalah teknikal ketika anda sedang berkaraoke lagu Kau Kekasihku. Lumrahlah kalau pusat karaoke ada masalah,” selorohnya.

Anggun dalam persalinan songket berona coklat, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu menutup tirai konsert dengan seleksi lagu tradisional popularnya iaitu Cindai, Joget Senyum

Memikat sebelum memukau ramai dengan nyanyian hebat menerusi Nirmala yang membuatkan bulu roma meremang!

Lagu-lagu lain yang didendang Siti termasuklah Purnama Merindu, 7 Nasihat, Kesilapanku Keegoanmu, Sehebat Matahari, Menjaga Cintamu, Romansa Kita, Oda Di Bumi Anbia, Kurniaan Dalam Kesamaran, Bukan Cinta Biasa dan Aku Bidadari Syurgamu.

Sementara menerusi persembahan bersama Judika, mereka mendendangkan lagu duet Dirgahayu nyanyian asal Faizal Tahir, Seluruh Cinta (Cakra Khan) dan Kisah Ku Inginkan.

atas: RATA-RATA peminat pulang dengan hati berbunga-bunga setelah menyaksikan Siti dalam Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang sebelum ini mencetuskan pelbagai pandangan susulan tarikh konsert yang terlalu dekat dengan bulan Ramadan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN