HARI ini umat Islam seluruh negara menyambut hari pertama dalam bulan Ramadan, bulan yang paling dinanti-nantikan memandangkan pada bulan ini, Allah menawarkan pelbagai ganjaran untuk direbut oleh hamba-hamba-Nya.
Sepanjang Ramadan, penting untuk kita melakukan perancangan teliti meliputi aspek-aspek seperti pemakanan, aktiviti ibadah dan juga rohani bagi memastikan bulan Ramadan itu menjadi Ramadan terbaik kita.
Selain itu, perancangan teliti juga penting bagi mengelak kita menjadi letih, lapar, mengantuk, tidak bermaya dan tidak bersemangat sepanjang menjalani ibadah puasa.
Bercakap tentang perancangan pemakanan, ramai yang mengambil peluang untuk mengurangkan berat badan menerusi amalan berpuasa selama sebulan.
Konsep pemakanan seimbang dan sederhana cukup penting bagi memastikan seseorang itu mendapat bekalan nutrien mencukupi dan kekal bertenaga sepanjang hari.
Bagi Norfatma Nadia Nozula, 38, perancangan dalam pemakanan adalah penting dalam bulan Ramadan sehingga dia turut menukilkan buku panduan bertajuk Mealplan Ramadhan untuk membantu orang ramai merancang pemakanan sepanjang bulan mulia ini agar dapat menurunkan berat badan, sekali gus mengoptimumkan ibadah.
Pernah menjadi individu yang menjadi inspirasi ramai kerana berjaya menurunkan berat badan sebanyak 25 kilogram (kg) dalam tempoh lima bulan sehingga dijemput ke dalam rancangan televisyen, Norfatma Nadia berkongsi perancangan pemakanan yang sesuai dilakukan sepanjang bulan puasa.
Berbicara dengan K2, wanita yang lebih mesra disapa sebagai Nadia itu memberitahu dia menulis buku Mealplan Ramadhan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai yang berhasrat menambah ilmu berdiet dengan betul pada bulan Ramadan.
Buku Mealplan Ramadhan menampilkan cadangan 30 resipi meliputi menu berbuka puasa, bersahur dan juga menu moreh yang sihat pada hari-hari Ramadan.
Misalnya, Nadia mencadangkan menu singgang ikan kembung untuk sahur, menu ikan siakap steam untuk berbuka puasa dan telur dadar cendawan untuk moreh.
“30 resipi yang ada di dalam buku tersebut dipilih khas bagi membantu mereka yang berdiet untuk turun berat badan secepat 10 kilogram sebulan.
“Kesemua resipi ini juga senang disediakan dan resipinya sesuai untuk tekak orang Melayu,” katanya.
Jelas Nadia, gabungan menu yang disarankan dalam buku tersebut adalah menu rendah gula yang sesuai diamalkan pada bulan Ramadan.
“Cadangan gabungan menu itu adalah menu rendah gula, memandangkan sasaran utama bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan pada bulan Ramadan ini adalah menu yang diambil tersebut perlulah dalam kategori rendah gula, namun tinggi protein.
“Jadi, tidak kisah jika menu sahur yang dicadangkan itu mahu ditukar kepada berbuka atau sebaliknya, kerana apa yang penting menu-menu tersebut enak dan masih rendah gula,” katanya.
Bercakap tentang pemilihan makanan berkhasiat sepanjang bulan Ramadan, Nadia berkata, ia mustahak bagi memastikan kita mendapat tenaga yang mencukupi untuk beribadah terutama pada sebelah malamnya.
“Pemakanan yang saya kongsikan dalam buku ini amat sesuai sepanjang Ramadan biarpun kita sedang berdiet. Ini kerana, makanan tinggi protein memberikan kita rasa kenyang dan pada masa sama memberikan tubuh tenaga yang mencukupi bagi membolehkan kita menunaikan solat tarawih.
“Berbeza dengan makanan tinggi karbohidrat, ia membuatkan tubuh menjadi lesu, letih dan cepat mengantuk,” katanya.
Selain itu, Nadia berkata, dia turut menulis tip membeli juadah di bazar Ramadan dan menyediakan senarai semak apa yang perlu dibuat jika berat masih juga tidak turun biarpun selepas berdiet,” katanya.
Tambah Nadia, bulan Ramadan sememangnya mencabar dari aspek pemakanan memandangkan apabila berpuasa secara berterusan, ia akan menyebabkan metabolisme badan menjadi rendah. Justeru, perancangan menu perlulah yang dapat membantu meningkatkan metabolisme tubuh.
“Perkara paling penting yang harus dibuat pada bulan Ramadan ini adalah jangan sesekali meninggalkan sahur.
“Apabila kita tidak bersahur, badan akan menjadi lemah, lalu ia tidak bertenaga untuk membakar lemak.Pastikan anda bersahur dengan mengambil makanan tinggi protein dan banyakkan sayur-sayuran,” tuturnya.

Mengenai pengambilan kurma, Nadia menjelaskan kurma merupakan makanan yang cukup menyihatkan kerana khasiatnya cukup banyak, khususnya dalam membekalkan tenaga kepada mereka yang mengambilnya.
Begitu pun, jika untuk menurunkan berat badan, ia bukan menu yang sesuai kerana kandungan gulanya yang tinggi.
“Jika untuk berdiet, kurma kurang sesuai untuk dimakan oleh kerana kandungan gulanya tinggi. Namun, selepas mencapai berat sasaran, peminat kurma boleh makan buah itu seperti biasa, tiada masalah,” katanya.
Sementara itu, dalam aspek perancangan ibadah, Guru Al-Quran Pusat Pengajian Al-Quran HADEEF, Ustazah Ainun Mardhiah Ismail yang juga merupakan penulis buku Bahagianya Ramadanku berkata, perancangan hari pertama menyambut Ramadan adalah cukup penting, meliputi pelbagai aspek termasuk pemakanan dan rohani.
Jelasnya, pada hari pertama Ramadan, perkara yang paling penting untuk dibuat adalah dengan meletakkan sasaran apa yang mahu dicapai pada Ramadan tahun ini.
“Apakah sasaran atau target kita untuk Ramadan kali ini? Seorang hamba Allah akan sangat menghargai kehadiran Ramadan kalau dia merasakan dirinya banyak kekurangan dan kelemahan.
“Sepanjang 11 bulan yang lain, kita banyak lakukan dosa dan kesilapan, namun untuk satu bulan ini, Allah berikan peluang cukup berharga untuk kita kembali kepada-Nya, maka peluang ini jangan disia-siakan,” katanya.
Ainun Mardhiah juga menyarankan umat Islam untuk menulis dan menampal azam kita itu di mana-mana tempat yang boleh dilihat supaya kita jelas dengan apa yang mahu dicapai.
Ainun Mardhiah berkata, ibu atau bapa jua perlu mengambil peluang untuk menerangkan kepada anak-anak tentang Ramadan supaya lebih fokus dalam melakukan aktiviti Ramadan.
“Contohnya, usahakan untuk bersolat tarawih dan berbuka puasa bersama. Selain itu, jika sebelum ini kita mungkin tidak ambil berat tentang sahur, kali ini, ambil peluang ini dan jelaskan kepada anak-anak supaya mereka faham dan bersama-sama anggap perkara itu sebagai sesuatu yang penting,” katanya.














