fbpx

Oppenheimer Filem Terbaik Oscar 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Oppenheimer arahan Christopher Nolan dinobatkan sebagai Filem Terbaik Oscar 2024.

OPPENHEIMER menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik di Oscar 2024 yang berlangsung di Dolby Theatre di Hollywood Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi tadi.

Karya arahan Christopher Nolan itu menewaskan American Fiction, Anatomy of a Fall, Barbie, The Holdovers, Killers of the Flower Moon, Maestro, Past Lives, Poor Things dan The Zone of Interest.

Nolan, 53, turut merangkul trofi Pengarah Terbaik yang juga anugerah Oscar pertamanya selepas beberapa kali dicalonkan dalam kategori sama sebelum ini termasuk menerusi filem Inception dan Dunkirk.

Secara keseluruhan, Oppenheimer membolot tujuh Oscar daripada 13 pencalonan yang diterima pada acara pengiktirafan untuk seluruh karyawan filem.

Melengkapkan senarai kemenangan filem itu adalah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Cillian Murphy menewaskan pesaing terdekat iaitu Bradley Cooper, Colman Domingo dan Jeffrey Wright.

Trofi lain yang dibolot ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang diraih Robert Downey Jr selain Sinematografi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik serta Muzik Asal Terbaik.

Oppenheimer ditayangkan pada Julai 2023 merupakan adaptasi buku biografi American Prometheus berkisar penglibatan Robert Oppenheimer dalam Projek Manhattan.

Sebelum ini, filem terbabit menjadi naskhah terlaris ketiga di dunia pada 2023 selain mencecah kutipan pecah panggung RM54.5 bilion (USD$960 juta).

Kategori Pelakon Wanita Terbaik pula menjadi milik Emma Stone menerusi filem Poor Thing sekali gus mengetepikan tiga finalis hebat, Lily Gladstone, Annette Bening dan Carey Mulligan.

Manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dimenangi Da’Vine Joy Randolph menerusi filem The Holdovers.

Pasangan adik-beradik Billie Eilish dan Finneas’ pula dipilih sebagai penerima trofi Lagu Terbaik menerusi runut bunyi (OST) filem Barbie iaitu What Was I Made For?

Ini adalah kemenangan kedua mereka menerusi kategori sama pada edisi 2022 bagi filem James Bond, No Time To Die. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI