fbpx
Wana hamil setelah terlanjur dengan Man. – GAMBAR HIASAN

Kemurungan selepas terlanjur dengan suami orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN berulang kali memberitahu diri sendiri bahawa dirinya tidak akan sesekali jatuh hati atau cuba mendekati lelaki bergelar suami orang, namun Wana (bukan nama sebenar) tidak mampu menolak takdir.

Apa yang menyedihkan, percintaan tersebut bukan sahaja putus di tengah jalan, ia juga membuatkan Wana mengalami tekanan perasaan sehingga terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan.

Membuka cerita, Wana berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan jatuh hati dengan Man (bukan nama sebenar) yang merupakan suami orang.

Perkenalan Wana dengan Man bermula ketika wanita itu menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta.

“Man ketika itu merupakan senior saya dan saya akui amat sukakan dia, namun tidaklah sampai tahap jatuh hati kepadanya.

“Ketika itu, saya sama sekali tidak tahu bahawa Man sebenarnya sudah berkahwin,” kata Wana.

Wanita kelahiran sebuah negeri di utara tanah air itu memberitahu sepanjang menjalani latihan praktikal, dia perlu kerap berurusan dengan Man.

Man pula merupakan seorang lelaki yang segak dan cukup kelakar. Selain itu, dia juga cukup pandai mengambil hati Wana.

Semakin lama, Wana semakin jatuh hati terhadap Man.

“Man juga tidak langsung membataskan pergaulannya dengan saya, menyebabkan saya yakin dia bukan suami orang.

“Dia juga sentiasa ada masa bersama saya dan tidak langsung menyebabkan saya curiga pada statusnya,” kongsi Wana.

Hubungan mereka semakin akrab dan mereka tidak ubah seperti pasangan suami isteri.

Mereka sudah terlanjur sehinggakan Wana sanggup menyerahkan segala-galanya kepada Man sambil mengakui dirinya cukup bahagia.

Selepas yakin dengan hubungan mereka, Wana memperkenalkan Man kepada ahli keluarganya dan lelaki itu juga masih belum mendedahkan status sebenarnya.

Namun, cerita sebenar akhirnya terbongkar apabila salah seorang rakan sekerja mereka menghidu hubungan rapat pasangan itu dan memberitahu Wana bahawa dia sedang dipermainkan.

“Saya cukup sedih dan berusaha meninggalkan Man. Begitu pun, ia cukup sukar kerana saya sudah terlalu sayangkan dia.

“Lebih teruk lagi, saya mendapat tahu bahawa saya telah hamil hasil daripada perbuatan terkutuk kami,” katanya.

Selepas mendapat tahu tentang kehamilan Wana, Man mula menjauhkan diri. Dia semakin sukar dihubungi dan memandangkan Wana juga sudah bekerja di syarikat lain, dia semakin jarang berjumpa dengan Man.

Ujar Wana, Man kerap memberikan alasan apabila diajak berbincang tentang hala tuju hubungan mereka.

Perut Wana pula sudah semakin membesar, menyebabkan dia terpaksa memberitahu keluarganya perkara sebenar.

“Mereka amat malu, namun mereka menyuruh saya untuk tidak sesekali berharap lagi kepada Man.

“Namun, saya amat tidak berpuas hati dengan Man kerana terkenang semua janji manisnya dan tetap menagih cinta serta penjelasan daripadanya.

“Saya terus-terusan memaksa Man menikahi saya, sementara Man pula bertindak menyekat nombor telefon saya selain menyuruh saya melupakannya,” kata Wana.

Anak dalam kandungan Wana terpaksa digugurkan dan akibat daripada itu Wana menjadi sangat tertekan.

Dia terpaksa dirujuk kepada pakar psikiatri dan disahkan menghidap tekanan perasaan.

“Saya bagaikan hilang segalanya. Anak saya, maruah saya dan juga orang yang saya sayangi.

“Ia menyebabkan saya terpaksa mendapatkan rawatan kerana emosi saya amat terganggu.

“Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya berlapang dada dan menganggap ini sebagai ujian paling besar dalam hidup saya,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN