fbpx
Kaki lima dan stesen bas antara lokasi untuk berehat dan bermalam sebelum kembali bekerja di Singapura.

‘Sewa RM700, lebih baik berjimat tidur di jalanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Mahu menjimatkan masa untuk berulang-alik kerja di Singapura selain memikirkan kos sewa rumah yang terlalu tinggi menyebabkan ada pekerja Malaysia yang memilih untuk tidur di jalanan setiap malam.

Situasi itu dilalui sendiri oleh Weng, 40, yang mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu restoran di Singapura dan dia menjadikan Jalan Segget dan Wong Ah Fook di sini sebagai tempat tidurnya.

Weng merupakan antara puluhan rakyat negara ini yang terpaksa memilih cara tersebut semata-mata untuk mengumpul duit demi menyara keluarga.

“Kami bukan gelandangan, tetapi kami hanya tersepit sama ada mahu memilih untuk tidur di rumah dengan sewa ratusan ringgit ataupun hanya tidur di jalanan untuk beberapa jam sebelum kembali bekerja di Singapura,” katanya yang berasal dari Kluang dekat sini.

Menurut Weng, dia sebelum ini pernah menyewa bilik di sebuah unit apartmen di sini, tetapi memilih untuk keluar dan tidur di jalanan sejak setahun lalu.

“Bilik apartmen yang disewa sebelum ini sangat mahal iaitu RM700 sebulan.

“Mula-mula tidak terbeban sebab gaji yang saya terima de­ngan be­kerja sebagai pembantu restoran di Singapura agak mencukupi.

“Namun lama kelamaan, saya tidak lagi mampu untuk membayar sewa. Ini ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Akhirnya, saya pilih untuk berjimat,” jelasnya lagi.

Tambah Weng, antara alasan lain mengapa dia memilih untuk tidur di kaki lima dan jalanan adalah disebabkan faktor jarak antara tempat tinggalnya dengan Bangunan Sultan Iskandar.

“Sebelum ini, saya perlu naik kereta sewa atau bas untuk ke Bangunan Sultan Iskandar dan sudah pasti ia memerlukan kos. Bayangkan, berapa banyak kos yang saya perlu keluarkan hanya untuk keluar bekerja setiap hari,” soalnya.

Difahamkan, rata-rata pekerja Malaysia di Singapura mampu meraih gaji bulanan antara Dolar Singapura 1,200 (RM4,222) sehingga 1,500 (RM5,277).

Kadar tukaran terkini mata wang adalah satu Dolar Singapura bersamaan RM3.52.

Mengulas lanjut, Weng yang masih bujang mengakui kehidupannya kini semakin tenang dan dia tidak perlu lagi memikirkan untuk membayar sewa rumah dan sewa pengangkutan.

Katanya, dia banyak menghabiskan masa dengan tidur di kaki lima premis perniagaan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar iaitu antara Jalan Segget ataupun Jalan Wong Ah Fook.

“Kebiasaannya, saya akan ke tempat kerja seawal pukul 5 pagi setiap hari dan akan pulang pada pukul 5 petang dengan menaiki pengangkutan awam.
“Kalau sebelum ini, saya perlu keluar awal dan sampai rumah juga agak lewat malam.

“Kalau tidur sini (kaki lima), dapat jimat masa dan saya boleh rehat awal dan bangun lewat sikit untuk pergi kerja. Untuk urusan mandi, saya gunakan tandas di stesen minyak atau tandas awam yang berdekatan, manakala pakaian pula boleh dicuci di kedai dobi layan diri,” katanya.

Seorang lagi pekerja pembersihan di Singapura yang mahu dikenali sebagai Loganathan, 39, turut berkongsi alasan sama iaitu mahu menyimpan duit bagi kegunaan keluarganya yang me­netap di utara tanah air.

“Lebih kurang setahun lebih saya tidur macam ini, saya di sini seorang diri, keluarga semua di kampung, jadi separuh duit gaji saya akan hantar ke kampung.

“Dengan hidup macam ini lebih jimat, nak sewa bilik atau rumah agak mahal lagi-lagi harga barang juga semakin naik,” katanya.

Kosmo! pada 1 Mac lalu me­laporkan, rata-rata pekerja tempatan yang bekerja di Singapura dengan gaji lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan sanggup menjadi gelandangan di bandar raya ini kerana mahu berjimat cermat selain hidup sebatang kara.

Mereka merupakan kumpulan pekerja yang berulang-alik ke Singapura setiap hari me­nunggang motosikal dan menaiki perkhidmatan awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN