fbpx

Polis ambil keterangan tujuh individu kes ibu Kor Ming terima ugutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS mendirikan khemah berhampiran rumah keluarga Nga Kor Ming, bagi menjaga keselamatan di situ bermula hari ini.

LUMUT – Polis sudah mengambil keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menemui kertas berbaur ugutan di hadapan rumahnya di Ayer Tawar semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata sehingga kini polis masih meneruskan siasatan kes tersebut dan belum ada tangkapan dibuat.

“Setakat hari ini, polis telah merakam percakapan tujuh individu berhubung kes tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, ibu Kor Ming yang berusia 76 tahun yang juga seorang pesara membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 10.15 pagi selepas menemui berpuluh kertas berunsur ugutan di hadapan rumahnya.

Dalam laporan itu, wanita warga emas tersebut memberitahu kira-kira pukul 7.30 pagi ketika mahu keluar dari rumah menemui banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya.

Pada kertas itu terdapat ayat bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan pengadu percaya perkataan tersebut mempunyai niat tidak baik.

Sementara itu, tinjauan di kawasan perumahan tersebut mendapati polis mendirikan sebuah khemah berhampiran rumah keluarga menteri berkenaan, bagi menjaga keselamatan serta mengawasi sebarang pergerakan mencurigakan di situ.

Difahamkan, beberapa anggota polis ditempatkan di khemah itu secara berkala setiap hari mulai hari ini untuk satu tempoh masa yang tidak ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI