fbpx

Bertikam lidah ketika berpolitik itu biasa namun ada batasnya – Kor Ming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming ketika berucap di majlis Wisma Demokrasi Fundraising Dinner di Sitiawan hari ini.

MANJUNG – Pertelagahan dalam berpolitik tidak seharusnya melampaui batas sehingga diterjemahkan dalam bentuk kekerasan serta keganasan.

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam berpolitik bahkan bertikam lidah sudah menjadi satu kelaziman bagi mereka yang terlibat dengannya.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia tidak boleh melampaui batas kerana ia (pertelagahan politik) masih mempunyai hadnya.

“Oleh kerana itu saya nak tegaskan, isu politik adalah politik. Dia ada had dan batasannya. Kita boleh bertikam lidah, boleh berbeza pendapat tidak ada kompromi untuk apa bentuk kekerasan serta keganasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penemuan kertas berbaur ugutan di hadapan rumah ibunya di Ayer Tawar semalam yang rumahnya yang tertera tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, ugutan sedemikian kini dilihat telah menjadi satu trend yang mana perkara serupa turut dihadapi Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kira-kira dua bulan lalu.

“Kes di rumah Koo Ham adalah percubaan membunuh. Bayangkan jika tiada orang membangkitkan beliau dari tidur, mungkin hari ini Koo Ham dan isteri telah tiada lagi.

“Sekarang dia ugut ibu bapa saya. Bapa saya sudah berumur 86 tahun dan tidak boleh jalan dengan sempurna. Sekiranya berlaku apa-apa memang membuatkan saya berasa risau dan khuatir,” katanya.

Tambahnya, biarpun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjanji Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab selain polis memasang khemah untuk menjaga kediaman ibunya, ia bukanlah satu cara penyelesaian jangka panjang.

“Ini untuk jangka pendek sahaja. Kita harap sesiapa yang menyalahi undang-undang dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Ia supaya satu mesej dapat dihantar iaitu negara kita ada rukun iaitu kedaulatan undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI