fbpx

Ibu Menteri KPKT terima surat ugutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERTAS mengandungi tulisan berunsur ugutan yang ditemui di depan rumah ibu Kor Ming di Ayer Tawar, Manjung pagi ini.

LUMUT – Ibu Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membuat laporan polis selepas menemui puluhan kertas berunsur ugutan di hadapan rumahnya di Ayer Tawar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, wanita berusia 76 tahun yang juga pesara membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 10.15 pagi.

“Dalam laporan itu, wanita tersebut memaklumkan ketika mahu keluar pada pukul 7.30 pagi, dia menemukan kertas-kertas bertaburan di hadapan rumahnya.

“Pada kertas itu terdapat ayat bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan pengadu percaya perkataan tersebut mempunyai niat tidak baik,” katanya di sini hari ini.

Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Jelas beliau, usaha mengesan individu terlibat masih diteruskan. Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd. Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, ibu Kor Ming memberitahu, pada mulanya beliau menyangka perbuatan itu dilakukan oleh ‘along’, tetapi apabila diteliti terdapat tulisan dakwat merah berbaur ugutan.

Beliau kemudian menghubungi Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebelum membuat laporan polis.

Jelasnya, ia bukan kejadian kali pertama kerana sebelum ini pernah menerima anak peluru.

“Ugutan seperti ini sudah tentu menyakitkan hati. Kalau mahu berpolitik, berpolitiklah. Jangan buat seperti ini (ugutan) dan menakutkan orang tua seperti kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI