fbpx

Din Beringin curi kabel di tapak projek perumahan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno (empat dari kiri) menunjukkan beberapa gulung wayar kabel yang dirampas dalam tangkapan Din Beringin, 3 Mac lalu. -Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sindiket curi kabel, aluminium dan besi tembaga di tapak-tapak projek perumahan sekitar sini sejak enam bulan lalu tumpas, apabila dalangnya diberkas polis 3 Mac lalu.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dikenali sebagai Din Beringin itu dicekup di Jalan Indah 1, Jinjang Utara dalam satu serbuan sepasukan polis dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, risikan bermula apabila pihaknya menerima aduan berhubung kecurian kabel pam di sebuah loji di Taman Pelangi, di sini pada 27 Februari lalu.

Ujarnya, sindiket ini mensasarkan kabel, besi tembaga dan aluminium sama ada yang sudah dipasang atau terbiar di kawasan tapak projek dan perumahan.

“Sindiket ini didalangi dua lelaki warga tempatan yang diketuai oleh suspek dikenali dengan nama panggilan Din Beringin. Hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang bagi tujuan membeli dadah.

“Seorang lagi suspek yang juga warga tempatan terlibat dalam sindiket ini sedang dikesan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, semakan rekod mendapati suspek mempunyai 14 rekod kesalahan jenayah lampau dimana 11 rekod melibatkan kesalahan dadah manakala tiga lagi melibatkan kesalahan jenayah.

Katanya, antara barang yang turut dirampas termasuklah sebuah kereta, telefon bimbit pelbagai jenama, guni yang mengandungi beberapa gulung wayar kabel serta peralatan yang digunakan untuk memotong kabel.

“Susulan dari operasi yang dijalankan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak sembilan kes kecurian yang dilaporkan di sekitar ibu kota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI