ENAM hari lagi, umat Islam dijangka akan mula berpuasa. Tarikh melihat anak bulan pada Ahad ini, 10 Mac. Biarpun begitu, cerita tentang busana Hari Raya Aidilfitri sedang hangat diperkatakan.
Tidak cukup berbual di meja makan dan WhatsApp, cerita tentang persalinan raya melatari ruangan media sosial dengan golongan peniaga tidak putus-putus meraih tumpuan pelanggan dengan koleksi terbaik masing-masing meliputi pelbagai corak dan warna.
Orange brick, burgundy, lime green dan soft yellow antara warna dambaan tahun ini. Kebaya labuh dan persalinan lace, sulam menjadi daya tarikan 2024.
Bercerita mengenai harga, tinjauan di butik-butik menunjukkan kebanyakan persalinan dijual melebihi RM100 dan ada yang mencecah sehingga ribuan ringgit untuk satu busana.
Lagi cantik busana itu lagi mahal harganya, ketika ini ramai mengeluh tentang itu. Bagaimanapun, tepuk dada tanya hati kecil, mahu cantik atau berjimat.
Bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak ramai pastinya kisah baju raya menyesakkan jiwa, tidak beli kasihan pada anak-anak, kalau membeli perlu cari yang betul-betul ikut kemampuan.
Kos persekolahan sudah beribu, berapa pula untuk hari raya. Dilema sungguh, anak-anak paling teruja.
Dua minggu lalu, Kosmo! melaporkan mengenai keghairahan sebilangan rakyat yang sanggup terbang ke Jakarta untuk membuat persiapan Aidilfitri.
Bagi mereka, langkah itu berbaloi apabila dapat membeli tujuh persalinan lengkap Aidilfitri dengan kos RM500. Busana ‘mewah’ bukan sekadar biasa. Menurut mereka, dengan kos berkenaan, hanya boleh dapat dua pasang baju sahaja di Malaysia.
Mengambil kira situasi itu, sudah tentu perjalanan ke Tanah Abang itu disifatkan berbaloi. Malah, peniaga di sana juga memberitahu, orang Malaysia telah mula berbelanja raya seawal bulan Januari dan situasi akan lebih hebat dua minggu menjelang raya.
Sebenarnya banyak faktor juga yang mendorong orang kita ke luar negara mendapatkan baju raya termasuk kemampuan pekerja di sana menyiapkan tempahan dalam masa sehari.
Seperti contoh di Vietnam, empat pasang baju kurung moden dan sepasang baju Melayu kain cotton siap dalam tempoh sehari.
Bagaimanapun, di sebalik keghairahan ini semua, jangan dilupa pepatah ukur baju di badan sendiri, jangan sudah tergantuk baru nak terngadah.
Berbelanja atau membelilah sesuatu mengikut kemampuan diri sendiri, jangan ikutkan pandangan mata sebaliknya ikut logik fikiran, jangan mahu tiru orang lain atau rasa tercabar sehingga tidak sedar menambah hutang yang entah apa-apa dan akhirnya memakan diri.
Terdapat juga sebilangan daripada kita, apabila sudah terlebih belanja alih-alih terpaksa ikat perut di hujung bulan atau mengharap juadah di masjid atau rumah terbuka.
Kawal nafsu masing-masing, jangan diikut sangat berbelanja raya sehingga akhirnya pokai. Kita yang menanggungnya, tidak mengapa baju lama asalkan bergaya. Janji senyum sampai hujung bulan. Insya-Allah.
















