fbpx
LAGU ‘berhantu’ Hasrat milik Amir Jahari yang dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-38 pada Ahad lalu dilihat membawa dimensi baharu dalam dunia muzik tanah air. Kemenangan Amir menewaskan Aina Abdul dan Aishah Retno turut membuka mata banyak pihak terhadap pemuzik anak indie yang underrated.

Selama ini tidak pernah bernombor – Amir Jahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASRAT kemenangan yang direstui. Predikat tersebut cukup menggambarkan keterujaan ramai tatkala lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-38 pada Ahad lalu.

Siapa sangka, Amir yang melalui banyak liku dalam kehidupan sepanjang 11 tahun lalu kini berada di titik terindah dalam hidup apabila ciptaan sepenuhnya dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan yang sememangnya diramal ramai pihak tersebut diibaratkan penyembuh luka dalam kehidupannya sebelum ini, termasuk masalah kesihatan mental kronik yang dialami sehingga pernah terniat untuk mengambil nyawa sendiri.

Tiada kata-kata yang mampu untuk menggambarkan kegembiraannya apabila Hasrat diumumkan sebagai pemenang, sekali gus mengenepikan calon kegemaran ramai, Jangan Mati Rasa Ini nyanyian Aina Abdul dan Sutera (Aisha Retno) bagi posisi juara.

AMIR JAHARI buat pertama beroleh kemenangan dalam sebuah pertandingan nyanyian menerusi lagu Hasrat.

Menewaskan lagu Aina yang merupakan calon utama bergelar juara juga sudah diibaratkan sebagai sebuah kemenangan Amir.

Semua itu bukan mudah tetapi berjaya diharunginya dengan persembahan santai, tenang dan cemerlang pada malam tersebut.

Kata pemilik nama penuh Mohamad Amirullah Jahari, kemenangan yang diraih umpama sebuah keajaiban dalam hidupnya yang sebelum ini, waima sekali pun dia tidak pernah berjaya bergelar juara dalam sebarang pertandingan nyanyian.

AMIR berkongsi penceritaan Hasrat dengan membawa naik pelakon Beto Kusyairy dan Diana Danielle sama-sama menjayakan lagu runut bunyi filem Imaginur itu ke pentas AJL38.

Tidak bernombor

“Tipulah tidak rasa gembira tetapi pastinya saya sangat terkejut dengan kemenangan ini dan paling tak sangka, saya juara.

“Perasaan jadi juara ini memang agak pelik juga sebab saya tidak pernah menang mana-mana pertandingan. Ibaratnya hidup saya tidak pernah bernombor.

“Seingat saya, paling tinggi kedudukan pernah saya capai ialah memenangi tempat kedua dalam sebuah pertandingan sebelum ini,” kata penyanyi berusia 32 tahun itu.

Diramalkan sebagai juara, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Tanpamu itu mengakui tidak mengetahui mengenai hal tersebut apatah lagi meletakkan harapan menggunung untuk menang.

TIGA penyanyi berstatus komposer yang menang besar pada AJL38, Aina dengan ciptaan sendiri Jangan Mati Rasa Itu, Amir (Hasrat) dan Aisha Retro (Sutra). – FARIZ RUSADIO

“Sejujurnya saya memang tidak melihat ciapan dalam media sosial dan bila orang beritahu, saya tak mahu percaya sebab tak berharap pun untuk menang.

“Namun pada akhirnya, saya adalah saya. Akhirnya muzik yang berbicara sendiri.

“Syukur dengan gelaran juara ini yang saya anggap sebagai magis. Bagi saya, gelaran juara juga tidak akan memberi makna buat selama-lamanya,” tuturnya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu menambah, menanti saat membawa pulang trofi AJL juga tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

“Saya tak menunggu untuk kemenangan ini. Kali terakhir saya sertai AJL adalah pada 2013 menerusi lagu Tanpamu dan ketika itu tak menang sebarang trofi.

SHILA Amzah dan Vanessa Reynauld membuka pentas AJL38 dengan lagu A Sky Full of Stars (Coldplay), Hilang Naluri (Once) dan Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter).

“Kemudian, selepas 11 tahun, Hasrat berjaya lolos ke final dan itu juga sudah menjadi kemenangan buat saya.

“Selama 11 tahun jugalah untuk saya berjaya berada di posisi sekarang dan semua ini seperti satu benda yang ‘magical’ (menakjubkan),” tuturnya.

Sebenarnya, bukan gelaran juara yang dikejar. Amir sebaliknya berharap lagu Hasrat berjaya meninggalkan impak besar kepada pencinta muzik tanah air.

Dia bahkan mahu menjadi seorang pemuzik yang mampu memberi ‘sesuatu’ kepada pendengar.

“Kalau orang tanya soalan ini, saya cuma mahu menjadi seorang komposer yang mampu memberi manfaat dan nasihat kepada pendengar menerusi setiap karya ciptaan sendiri.

“Saya juga mahu menjadi komposer yang dapat menyumbang kepada negara dan masyarakat,” kongsinya.

AMIR membawa konsep solidariti buat Palestin semasa mendendangkan lagu Hasrat di pentas final AJL38, Ahad lalu.

Lagu ‘healing’

Sempat menebak, Hasrat sebagai lagu ‘healing’ atau penyembuh luka sebagaimana disebut banyak orang, Amir bagaimanapun memberitahu, Hasrat bukanlah karya bertemakan sebegitu.

Sebaliknya, Hasrat yang diterbitkan pada 2020 dihasilkan sebagai runut bunyi bagi filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha.

“Karya ini saya cipta empat tahun lalu untuk Imaginur. Selepas menonton filem tersebut, saya terus terbayang pengalaman hidup sendiri dan luahkan semua momen hidup dalam lirik lagu.

“Saya okey dan suka apabila ramai cakap boleh kaitkan pengalaman hidup mereka dengan lagu ini. Mungkin juga sebab itu Hasrat dilabel lagu healing.

“Terpulang kepada penilaian masing-masing. Kalau nak menangis, silakan tetapi janganlah berpanjangan,” jelasnya.

Disoal sama ada pernah merajuk dengan industri, Amir menafikan hal tersebut sebaliknya memberitahu cuma mengambil tempoh berehat untuk kesihatan mentalnya.

“Tempoh merajuk itu kerana saya alami masalah peribadi dan mental.

“Saya bukan merajuk tetapi ramai tiba-tiba dakwa begitu.

“Kalau boleh, saya ambil masa dan ruang untuk berhenti seketika betulkan apa sahaja yang tak betul,” katanya yang mengetengahkan konsep solidariti pada persembahannya Ahad lalu.

AJL38 turut menampilkan Ratu Rock negara, Ella sebagai penutup tirai persembahan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN