fbpx

Kecoh isu Kampung Baru Cina, komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persidangan Dewan Rakyat petang ini kecoh seketika disebabkan isu Kampung Baru Cina.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila isu berkenaan Kampung Baru Cina di Selangor mahu diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.

Isu tersebut yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) semasa Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sekali gus mengundang pertikaman lidah di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ismail dalam perbahasannya mempersoalkan kewajaran cadangan menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sedangkan sejarah penubuhannya bagi mengekang pengaruh komunis dalam kalangan masyarakat Cina.

“Saya ingin suarakan mengenai cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk jadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO. Apa rasionalnya?

“Sejarah Kampung Baru Cina adalah hasil daripada langkah tindakan komunis mengganggu negara kita. Kalau jadikan ia sebagai tapak warisan, maka kita bersetuju mengiktiraf perjuangan komunis yang juga sejarah hitam negara,” katanya.

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mendakwa Ismail telah menyinggung perasaan dan menghina kaum Cina.

“Apa kaitan perkampungan Cina dengan komunis? Ini adalah perkataan yang menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara satu kaum dengan kaum lain,” katanya.

Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) pula mendakwa Ismail memutarbelitkan fakta sejarah kerana Kampung Baru Cina adalah tempat kurungan kaum Cina oleh penjajah British.

“Rumah (kaum Cina) diroboh secara paksa pindah ke tempat kurungan namanya kampung baru, tapi tempat kurungan British. Sejarahnya orang Cina jadi mangsa.

“Rumah diroboh dipaksa pindah tempat kurungan yang tiada tandas pun, tahu tak sejarah? Jangan putar belit sejarah. Sejarah dia adalah orang Cina dipaksa ke tempat kurungan British,” katanya.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) turut membidas kenyataan Ismail yang dianggap tidak betul dan fitnah serta meminta supaya menarik balik kenyataan tersebut.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempertahankan hujah sejarah kewujudan Kampung Baru Cina oleh Ismail menyarankan Menteri Pendidikan supaya mengubah sejarah tersebut jika ia salah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau kemudian meminta Ismail menarik balik kenyataannya, namun Ismail memaklumkan beliau hanya menceritakan semula sejarah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI