LONDON – Seorang warga emas secara tidak sengaja mengundur keretanya lalu merempuh tingkap sebuah galeri seni di Hampshire, Britain, lapor laman berita Metro UK semalam.
Pemandu wanita itu dilaporkan cuba meletak kenderaannya lebih dekat ke bahagian penghadang parkir, namun dia hilang kawalan.
Kereta Toyota Yaris itu merempuh tingkap kaca hadapan Galeri Westover sebelum ia berhenti di bilik hadapan premis tersebut.
Wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala tiada seorang pun yang berada di dalam galeri itu cedera ketika kejadian pada pagi Khamis lalu.
Bagaimanapun, galeri itu akan ditutup sehingga lapan minggu untuk kerja-kerja pembaikan. – AGENSI














