fbpx

Sekretariat tetap diwujudkan pantau resolusi KEB 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini. Foto AMIR KHALID

PUTRAJAYA – Satu sekretariat tetap diwujudkan pada kadar segera bagi memantau pelaksanaan resolusi yang dibentangkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat tersebut akan diletakkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebagai pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), beliau juga dipertanggungjawabkan mengawal dan menggerakkan inisiatif yang telah diluluskan oleh MEB.

“Jadi jawatankuasa yang ketiga di bawah MEB ialah jawatankuasa kerja yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua jawatankuasa akan bekerjasama rapat untuk memantau hasil perbincangan kongres, serta semua dokumen perbincangan yang telah diserahkan kepada perdana menteri.

Ahmad Zahid berkata, puluhan kluster dalam kongres kali ini telah mencadangkan aspek berkaitan kepentingan masyarakat bumiputera tanpa mengabaikan etnik lain di negara kita.

“Ini termasuk aspek pembasmian kemiskinan dan pembangunan ekonomi yang lebih saksama. Penekanan juga diberi kepada penggunaan teknologi baharu, dengan tumpuan kepada pelaksanaan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.

Mengenai geran peluncuran RM100 juta untuk penubuhan Tabung Wakaf Madani yang diumumkan oleh Anwar pada majlis penutupan KEB 2024, beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai agensi pelaksana diberi tempoh dua tahun untuk mengumpul dana sebanyak RM1 bilion.

Kongres yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 3,000 peserta termasuk wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI