fbpx
TERDAPAT peniaga terpaksa menurunkan harga pakaian raya yang dijual berikutan trend rakyat Malaysia membeli pakaian di Indonesia.

Peniaga raya harga ‘kayangan’ mula tergugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian peniaga Malaysia mula berasa khuatir sekiranya produk mereka tidak laku di pasaran selepas orang ramai sudah mula mengunjungi sendiri Kompleks Beli Belah Tanah Abang, Jakarta di Indonesia yang diberi jolokan ‘lubuk’ baju raya.

Kebanyakan rakyat Malaysia juga sudah mula membandingkan harga baju raya yang dijual di Indonesia lebih murah sebanyak tiga kali ganda berbanding yang dijual di sini walaupun corak dan rekaannya sama.

Seorang peniaga pakaian raya, Muhd. Zaidi Noor Azizan, 33, yang membuka perniagaan baju kemeja dan kurung batik di sini berkata, ketika dia mula mengambil stok dari Tanah Abang pada 2019, hanya 10 peratus rakyat Malaysia yang tahu tentang ‘lubuk’ tersebut.

“Saya turut berdepan cabaran kerana rekaan baju yang dijual sama dengan para peniaga lain yang turut mengimport baju raya dari Indonesia.

“Ketika saya mula-mula ambil stok di Tanah Abang, tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu. Mereka mungkin tahu di Indonesia murah, tetapi mereka tidak tahu di mana ‘lubuk’ baju-baju murah.

“Saya sudak beli stok di sana sejak sebelum penularan Co­vid-19. Tapi sekarang bersepah orang jual. Sampaikan ada pe­langgan yang bandingkan baju saya, katanya rekaan sama tapi kenapa saya jual lebih mahal.

“Kemudian saya berhenti te­rus ambil stok dari Indonesia dan import kain pasang dari China. Saya tubuhkan syarikat produksi sendiri untuk bina identiti perniagaan yang lain daripada peniaga lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Salah seorang peniaga baju raya melalui online.

Dia berpandangan sejak Ta­nah Abang makin diketahui ramai, ia memberi sedikit sebanyak kesan kepada para peniaga yang sememangnya mengimport pakaian dari Indonesia.

Katanya, beberapa kenalan yang menjual baju raya dari Indonesia turut terkesan dan terpaksa ‘membuang harga’ asalkan dapat pulang modal.

“Memang di sana kemeja batik lelaki serendah RM15, namun kualitinya teruk. Bila pakai rasa miang, jahitannya pun menyedihkan. Waktu itu saya ambil yang tinggi kualiti harga RM50 ke RM60, kemudian jual di sini RM129 pun orang kata mahal.

“Secara logiknya, bila import dari luar negara, semua peniaga pun perlu mempertimbangkan kos-kos lain seperti pe­nerbangan, makanan dan teksi. Sebenarnya untung pun cukup-cukup makan sahaja.

“Nasihat saya kepada peniaga lain, tidak boleh untung banyak-banyak sangat dah macam dulu. Yang penting, pandai cipta identiti jenama sebab tidak semua akan membeli dari Indonesia. Ada juga yang mahu membeli di tanah air kita,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Syuhada Karim, 32, yang menjalankan perniagaan kemeja batik dari Indonesia bersama suami sejak 2018 mengakui terkesan dengan trend itu sehingga pendapatan mereka merosot 50 peratus.

Katanya, faktor masyarakat kini lebih celik teknologi dan ba­nyak akses ke lokasi-lokasi pakaian murah se­perti di Indonesia dan Vietnam menyebabkan mereka memilih untuk membeli-belah di sana.

“Mereka lebih cenderung untuk pergi sendiri ke sana. Selain untuk diri sendiri dan keluarga, mereka juga ‘buka tawaran’ sebagai personal shopper sekali gus dapat menampung kos ke sana.

“Sebelum ni, sebulan kami boleh dapat sekitar RM50,000 tapi sekarang kurang hampir 50 peratus. Ketika PKP dulu pun dah mula terasa sebab ramai pilih beli atas talian secara terus dari sana, sekarang tambah pula dengan trend ni,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN