fbpx

Saya takkan merayu pada Malique – Joe Flizzow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Mengapa saya perlu merayu kepadanya (Malique) untuk buat dokumentari ini.”

Demikian respons penyanyi Joe Flizzow mengenai persiapan menghasilkan dokumentari autobiografinya berjudul This Is Johan yang tidak memerlukan kerjasama Malique selaku rakan duonya dalam kumpulan Too Phat suatu ketika dahulu.

Kata Joe atau nama lengkapnya Johan Ishak, 45, tindakan tidak mencari Malique menghilangkan diri sebelum ini dilakukan demi menghormati keputusannya untuk bergerak solo yang selesa berada di belakang tabir.

“Saya tidak hubungi dia (Malique) sebab tahu tiada guna pun kalau saya cari, jawapannya tetap sama.

“Ramai lagi orang hubungi dia untuk meminta bermacam-macam perkara. Saya hormati keputusannya enggan lagi berada dalam Too Phat, jadi mengapa saya perlu tidak menghormati dia dengan merayu melakukan dokumentari ini.

“Lagipun, ini bukan cerita dia walaupun dia sebahagian daripada itu. Ini kisah saya,” kata Joe kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar dokumentari autobiografi This Is Johan.

Ditanya sekiranya pemilik nama sebenar Cairel Adrin Ibrahim itu menonton dokumentari terbabit, Joe yang juga dikenali sebagai Mr. President berharap tiada sebarang kontroversi tercetus kerana dia sahaja masih membuatkan nama Too Phat terus relevan.

“Saya harap awak gembira. Sejujurnya, siapa yang masih menghidupkan nama Too Phat? Hanya seorang iaitu saya.

“Saya tidak nampak alasan untuk marah terhadap perkara ini. Sekurang-kurangnya saya masih memikirkan mengenai Too Phat.

“Malah, saya tidak nampak orang lain boleh melakukan perkara sama,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Too Phat ditubuhkan oleh Joe dan Malique pada 1998 sehingga terkenal di peringkat antarabangsa khususnya rantau Asia.

Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah apabila mereka memilih membawa haluan masing-masing dengan meneruskan kerjaya solo pada tahun 2007. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI