fbpx

Ustazah Asma’ tidak salahkan kerajaan, minta henti sebar fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustazah Asma’ (kiri)

PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menafikan pihaknya menyalahkan kerajaan susulan penutupan restoran miliknya di Seremban, baru-baru ini.

Menurut beliau, terlalu ramai yang memutar belit, menokok tambah dan memberi gambaran seolah-olah pihaknya menyalahkan pemerintah susulan kenyataan kenaikan harga barang menjadi salah satu faktor kerugian.

Ustazah Asma’ berkata, beliau menerima pelbagai komen, kritikan dan saranan untuk penambahbaikan dari sudut kualiti makanan atau perkhidmatan.

“Semua ini kami terima dengan lapang dada dan terus berusaha menambah baik dari masa ke masa. Sedikit pun kami tidak membangkang atau menidakkan.

“Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menyebut walau sepatah perkataan yang mengaitkan pihak kerajaan dengan situasi ini.

“Kenaikan kos sara hidup adalah isu global, bukan hanya di negara kita. Bahkan di Tanah Suci juga harga makanan naik mendadak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Oleh itu, Ustazah Asma’ memohon orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran berbaur fitnah mengenai perniagaannya.

“Jadi, berkatalah yang baik, atau sebaiknya diam daripada menyakiti. Doakan semoga Allah SWT sentiasa memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan jihad ekonomi ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustazah Asma’ memberitahu, pihaknya menganggap jatuh bangun dan untung rugi adalah perkara biasa dalam perniagaan.

“Alhamdulillah, ramai yang memberikan kata-kata semangat dan mengirimkan doa. Namun, tidak kurang juga yang mentertawakan, bertepuk tangan, menyindir sinis, memutar belit penjelasan dan menyerang saya secara peribadi.

“Saya terima semua itu dengan lapang dada, menyedari hakikat kerja buat kami yang banyak tidak sempurna,” katanya.

Ustazah Asma’ berkata, kegagalan tersebut tidak bermaksud pihaknya akan berputus asa.

Malah, Ustazah Asma’ mengakui banyak belajar tentang perniagaan sejak tahun 2008.

Mengulas mengenai pengumuman yang dibuat secara langsung melalui media sosial, Ustazah Asma’ berkata, kaedah tersebut adalah cara terpantas untuk memberitahu para pelanggan mengenai penutupan kedai makannnya.

“Ramai pelanggan kami datang dari jauh, termasuk dari Singapura. Saya tidak mahu pelanggan tahu premis ditutup melalui notis yang ditampal.

“Ia pasti menyusahkan dan mengecewakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI