fbpx

MRM sasar 200 peserta WAWI 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Husaini Ismail

CHERAS – Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) menyasarkan kira-kira 200 penyertaan menerusi penganjuran Pertandingan Rekabentuk from Waste to Wealth Innovation (WAWI) 2024.

Pengarah MRM, Husaini Ismail berkata, pertandingan itu merupakan program kerjasama MRM bersama rakan strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
(SWCorp) bagi menggalakkan penyertaan serta mencabar kreativiti dalam kalangan pereka.

Katanya, pertandingan itu juga memberi peluang kepada peserta bagi menghasilkan rekaan lestari atau berasaskan bahan-bahan terbuang yang akan mengambil kira aspek ekologi, sosial dan ekonomi.

Kali pertama pertandingan itu diadakan pada tahun 2023 dengan membawa tema ‘Aliran Fesyen Lestari’.

“Dengan kejayaan pada tahun lepas, MRM dan SWCorp meneruskan pertandingan untuk tahun ini dan memilih tema Eko Perabot.

“Tema Eko Perabot diangkat bagi memastikan peserta pertandingan menghasilkan produk berinovasi tinggi, menepati elemen ekonomi kitaran melalui bahan kitar semula atau terbuang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran pertandingan tersebut di sini semalam.

Katanya, peserta pertandingan itu terbuka kepada kategori profesional dan juga komuniti, manakala yuran penyertaan juga percuma.

“Pertandingan ini bermula pada hari ini sehingga bulan Mei bagi fasa pertama. Fasa kedua pula akan dilaksanakan pada bulan Jun atau Julai bagi menilai semua prototaip peserta.

“Bagi penyertaan pula, peserta mesti secara berkumpulan iaitu terdiri daripada dua individu ataupun maksimum empat orang ahli kumpulan sama ada daripada komuniti awam, universiti atau sekolah. Bagi golongan profesional pula daripada industri atau pun pereka cipta,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pemenang bagi pertandingan itu juga akan diumumkan pada bulan November nanti sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan dan akan di­sempurnakan oleh Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Pemenang pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 untuk kategori pro­­­­­f­esional, manakala bagi ka­tegori komuniti pula hadiah bernilai RM5,000.

Sementara itu, Pengerusi MRM, Junady Nawawi dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa industri reka bentuk sama ada dalam atau luar negara, MRM nekad meme­nuhi setiap kriteria yang telah digariskan dalam lima teras strategik MRM.

“Dalam industri reka bentuk, Certified Industrial Designer (CIDE) merupakan teras strategik pertama MRM bagi membangunkan kumpulan pereka yang berpengetahuan dan pengalaman reka bentuk yang boleh menjadi ejen perubahan dan pemimpin industri reka bentuk negara.

“Justeru, sebanyak 19 individu juga dianugerahkan CIDE bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti khususnya dalam industri reka bentuk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin segala aktiviti dan program yang sedang dijalankan oleh MRM khususnya akan dapat memberi impak yang positif kepada perkemba­ngan industri reka bentuk. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI