fbpx

Hormat privasi, Fouziah Gous tak periksa telefon suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saling percaya dan hormat privasi menjadi amalan Fouziah Gous dan suaminya dalam menjaga keharmonian rumah tangga. - FOTOMOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Saling percaya serta menghormati privasi, pelakon dan usahawan Fouziah Gous mengakui tidak pernah memeriksa atau membaca mesej telefon bimbit suaminya, Zhafran Md Yusof.

Katanya, dia memilih menjalani kehidupan tenang tanpa memikirkan perkara remeh mahu pun menyimpan prasangka terhadap teman hidup sendiri yang disifatkan boleh merosakkan hubungan.

“Saya takkan periksa telefon Zhafran sebab saya bukan jenis isteri yang penyibuk, selain sangat menjaga privasi orang walaupun terhadap suami sendiri.

“Saya hidup dengan rasa percaya dan fikiran tenang. Saya tahu suami sentiasa ada apabila diperlukan, tunaikan tanggungjawab, manakala saya juga lakukan amanah sebagai seorang isteri.

“Apa lagi yang saya mahu? Saya takkan cari masalah, tambahan pula sejak berkahwin 10 tahun lalu, kami sentiasa bersama saat susah senang,” katanya pada majlis pelancaran produk premium FG Walet dengan kerjasama MyNews, semalam.

Pelakon drama Cinta Medik itu turut memaklumkan peluang membangunkan bisnes minuman sarang burung seawal usia perkahwinan membuatkan mereka kental mendepani dugaan.

Situasi rumah tangga segelintir teman seangkatan yang hancur di tengah jalan tidak membuatkan kepercayaan Fouziah, 38, goyah sebaliknya dia dan suami saling memperbaiki kelemahan.

“Saya selesa bekerja dengan suami, tiada masalah kerana kami profesional serta memahami tugas masing-masing tanpa mencampuradukkan urusan kerja dan rumah tangga.

“Sebagai ibu, isteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Zhafou Global selaku pengeluar FG Walet, masa saya padat, namun di rumah saya tetap laksanakan tugas dan tanggung jawab.

“Suami pun sangat bertimbang rasa, bantu apa yang patut ketika di rumah tetapi walaupun kita ‘kepala’ di tempat kerja jangan terbawa-bawa ego.

“Saya selalu ingatkan diri supaya buang ego terutama dalam rumah tangga sebab ada sebilangan wanita yang terlupa perkara ini sehingga jadi dominan,” ujarnya.

Mengenai jenama FG Walet, dia dan suami yang juga Pengerusi Eksekutif Zhafran Global berbangga apabila produk minuman itu kini mampu sebaris dengan jenama keluaran syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Minuman kami boleh didapati di kebanyakan stesen minyak, secara online serta semua stor My News dan CU Mart,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI