fbpx

DUN Selangor: Petani langgar SOP punca utama hasil padi kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sikap para petani yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman padi menjadi punca utama kepada pengurangan hasil pendapatan khususnya di Barat Laut Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, dapatan tersebut hasil kajian dilakukan pihaknya dengan tiada isu berkaitan tanah tidak subur.

Selain itu, kata beliau, adalah ketidaksamaan benih padi yang ditanam dalam sesuatu blok atau kawasan seterusnya menyebabkan tarikh penanaman padi tidak satu sama lain.

“Tanah sawah okay, ada benda lain mengganggu pengeluarannya kecuali Sabak yang menghadapi bekalan air yang sangat kronik.

“Namun paling besar adalah kegagalan para petani kita mematuhi SOP tanam padi. Kalau benih berbeza dan jangka waktu penanaman padi tidak sama. Apabila musim menuai ada padi yang tidak masak betul dan pemutuan padi akan banyak dipotong,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sallehen Mukhyi (PN – Sabak) terhadap pendapatan petani khususnya di Sabak yang kritikal pada awal tahun ini.

Kata Izham yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memberitahu, penggunaan jentera penuaian sedia ada juga telah menyebabkan kehilangan 20 peratus hasil padi semasa proses penuaian.

“Justeru, kita akan beli mesin tuaian baru yang dapat mengurangkan sehingga 10 peratus kehilangan hasil padi selain batas sawah tidak rosak.

“Jumlah hasil padi Selangor menunjukkan peningkatan sebanyak 16,853 metrik tan dengan 88,551 metrik tan dihasilkan pada tahun lalu berbanding 2022 (71,688 metrik tan).

“Manakala dipasarkan di pasaran domestik sebagai beras tempatan untuk tahun lalu ialah 48,703 metrik tan atau 55 peratus pengeluaran padi Selangor dan selebihnya 38,488 metrik tan dijadikan benih bagi menyumbang kepada keperluan benih padi negara,” ujarnya.

Ketika menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH – Meru) terdapat sebarang inisiatif bagi membuka kawasan padi baru, Izham menegaskan kerajaan negeri hanya akan meningkatkan hasil di kawasan sedia ada.

“Penanaman padi kita sebenarnya lebih 19,000 hektar di Barat Laut Selangor dan (ada tanah) telah disalahguna untuk penanaman sayur dan sebagainya. Sekarang kita hanya ada 17,740 hektar.

“Kita juga sudah buat kajian dan telah putuskan harga dengan memerlukan RM1 bilion bagi menaiktaraf sistem saliran dan membina kolam takungan atau tadahan bagi sawah. Kita akan bentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI